Rafidah Aziz berkata rakyat negara ini perlu memerdekakan diri daripada perkara yang boleh memudaratkan dan mengganggu gugat kestabilannya.
Bekas menteri persekutuan itu berkata, negara sebelum ini pernah dianggap dunia sebagai ‘Harimau Asia’ dan sangat dihormati.
“Tetapi masa berlalu, sekarang ini pelbagai masalah telah dan sedang mencabar rakyat.
“Kita menyambut ulang tahun Merdeka ke-64, dalam keadaan susah dan resah, tidak menentu, khuatir dan risau tentang hari esok, dan masa depan. Pandemik global Covid-19 membawa masalah-masalah tertentu,” katanya dalam hantaran sempena ulang tahun Merdeka di Facebook.
Rafidah berkata, pelbagai masalah lain turut mengganggu gugat termasuk kewibawaan pentadbiran dan imej negara.
“Negara memang akan terus merdeka, tetapi kita rakyat perlu memerdekakan diri kita dari dikongkong, dibelenggu, disusahkan, oleh kelam kabut politik toksik dan haluan tidak menentu.
“Sudah sampai masanya kita perbetulkan kompas negara, kita kikis unsur-unsur negatif perosak masyarakat dan negara…kita tetapkan semula atau reset haluan kita,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat perlu memupuk kembali nilai-nilai dan prinsip semua lapisan masyarakat yang boleh mengukuhkan ketahanan rakyat dan negara.
Katanya, rakyat perlu membina semula negara yang bermaruah dan dihormati dan terus membebaskan negara ini dari perkara dan gejala yang memudaratkan.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/30/merdekakan-diri-dari-kelam-kabut-politik-toksik-haluan-tak-menentu-kata-rafidah/