Terkini! KP Perkhidmatan Awam ditamatkan pada 12 Disember – Sumber

Kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), berkuat kuasa 12 Dis.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali berkata penamatan itu dibuat selepas melalui semua prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam (PDKA) dan diteliti peguam negara.

“Penamatan ini adalah selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227]

“Keputusan ini diambil setelah melalui semua prosedur bagi PDKA dan telah diteliti keteraturannya oleh Jabatan Peguam Negara.

“Saya bagi pihak kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Shafiq atas jasa dan khidmat bakti beliau kepada negara sebagai penjawat awam,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Shafiq yang juga ketua setiausaha kementerian kesihatan dilantik sebagai KPPA pada 10 Feb lalu.

Mohd Shafiq, 58, menggantikan Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang bersara wajib pada 16 Jan lepas.

Dia telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama disandangnya ialah sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Mohd Shafiq berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti Meiji, Jepun.

Dalam pada itu, Mohd Zuki menyeru penjawat awam untuk terus memberikan komitmen dan dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Malaysiakini

Terkini

Berita Berkaitan