Terkini! Kes Covid-19 kembali meningkat di seluruh dunia

GENEVA – Kes Covid-19 kembali meningkat di sekitar 110 negara yang didorong oleh penularan subvarian Omicron BA.4 dan BA.5, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Akhbar Saudi Gazette mela­porkan, kes Covid-19 secara ke­seluruhan, meningkat 20 peratus, manakala angka kematian di tiga daripada enam wilayah dunia yang dipantau oleh WHO juga bertambah.

Dalam taklimat mingguan kepada wartawan Rabu lalu Tedros berkata, angka jangkitan global secara keseluruhan ‘agak stabil’ tetapi tiada siapa patut menganggap bahawa jangkitan ­Covid-19 sedang berakhir.

“Pandemik ini berubah tetapi belum berakhir. Kita telah mencapai kemajuan tetapi ia belum berakhir.

“Hanya menerusi tindakan bersepadu antara kerajaan, agensi antarabanga dan sektor swasta, barulah kita boleh menangani cabaran yang dihadapi,” kata Tedros.

Beliau berkata, tarikh akhir pertengahan tahun ini yang ditetapkan oleh WHO untuk semua negara di dunia mencapai kadar vaksinasi 70 peratus melibatkan populasi masing-masing dilihat mustahil untuk dicapai.

Menurutnya, penilaian tersebut dibuat selepas negara-negara berpendapatan rendah merekodkan kadar vaksinasi cuma 13 peratus.

Bagaimanapun, kata Tedros, dalam tempoh 18 bulan lalu, le­bih 12 bilion dos vaksin Covid-19 telah diedarkan ke seluruh ­dunia, manakala 75 peratus daripada keseluruhan petugas kesihatan dan golongan berusia 60 tahun ke atas sudah divaksin.

“Jurnal perubatan Lancet menganggarkan bahawa seba­nyak 20 juta nyawa telah dise­lamatkan menerusi vaksin Co­vid-19,” kata Tedros.

Pada tahun lalu, tindakan negara-negara kaya dan pengeluar menyimpan bekalan vaksin terbukti menjadi penghalang utama untuk akses kepada pelalian ­Covid-19 global.

Bagaimanapun, pada tahun ini, Tedros menyifatkan bahawa ketiadaan komitmen politik untuk memastikan orang ramai divaksinasi di samping penyebaran maklumat palsu menjadi penghalang utama kempen vaksinasi di peringkat kebangsaan.

Beliau menyeru agar semua kumpulan berisiko diberikan dos penggalak secepat mungkin. – Agensi

Kes Covid-19 kembali meningkat di seluruh dunia

Terkini

Berita Berkaitan