Terkini! BN mesti rombak semula perlembagaan lapuk, kata Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi menekankan bahawa Barisan Nasional (BN) mesti merombak semula perlembagaan parti yang sudah lapuk untuk menghapuskan ‘bangkai tikus’ dalam parti tersebut.

Beliau berkata, pindaan perlembagaan berkaitan klausa yang membenarkan parti komponen menghalang parti lain daripada menyertai gabungan itu perlu dilakukan.

“Yang akan menyertai tujuh parti tidak boleh masuk kerana Perlembagaan BN mengikat mereka daripada masuk. Kerana syaratnya jika ada satu parti menolak mana-mana parti yang mahu masuk, maka itu tidak boleh dilakukan.

“Orang mahu berkawan, orang mahu menyertai, orang mahu mendokong, tetapi polisinya tolak kerana terikat dengan perlembagaan parti. Itu pelbagai (perlembagaan) lapuk yang harus ketepikan.” katanya ketika menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Kali ke-14 Makkal Sakti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Beliau yang juga presiden Umno berkata, perlu adanya tiga strategi, iaitu mencipta keserasian, mengembangkan persefahaman dan mempunyai matlamat untuk jalinan kolaborasi kuasa dalam parti BN.

“Kita mesti membuat keputusan secara kolektif dan sebarang risiko ditanggung secara kolektif. Kita tidak mahu apa yang dilakukan Bossku untuk semua tetapi yang menanggung beban beliau seorang. Itu tidak adil.

“Kita mesti bersifat kolektif atas tanggungjawab sama. Kolaborasi perkongsian kuasa mesti direalisasikan, jangan hanya satu pihak sahaja memulut kuasa, ia akan menggugat kestabilan negara,” tambahnya.

Katanya, BN harus melihat semula dari perspektif politik yang baru, bukan sahaja fokus terhadap ‘rebounding’ gabungan, tetapi juga penstrukturan semula gabungan parti.

“Kalau ada musuh di luar parti kita, itu kita kenal pasti dengan mudah. Tetapi kalau ada duri dalam daging, kita kena sekilas ikan di air sudah kenal jantan betinanya. Tidak lama, tidak lama, saya ulangi, tidak lama, sesuatu mesti dilakukan untuk membersihkan parti kita.

“Kita tidak mahu musang dalam reban ayam mahupun bangkai tikus air yang tidak boleh diminum,” katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya BN menang, Pelan Tindakan Masyarakat India 2.0 akan dibina bagi usaha membantu dan menyokong komuniti India.

“Jika Najib memberi RM100 juta, kita akan memberi RM500 juta,” katanya sambil mengakui jumlah peruntukan tersebut sememangnya masih tidak mencukupi bagi membina masyarakat India.

BN mesti rombak semula perlembagaan lapuk, kata Zahid

Terkini

Berita Berkaitan