Thursday, October 5, 2023

Terkini! Beri pengguna saham Air Selangor, tunai impian Khalid, saran Najib kepada BN

Najib Razak mencadangkan agar Barisan Nasional (BN) Selangor memasukkan dalam manifesto pilihan rayanya janji memberikan saham Air Selangor kepada setiap isi rumah yang menjadi penggunanya, bagi menunaikan impian bekas menteri besar Khalid Ibrahim.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau tidak membantah perkara ini “sebagai penghormatan” kepada Khalid, yang meninggal dunia pada 30 Julai akibat masalah jantung.

“Saya pernah berbincang beberapa kali dengan Allahyarham Khalid Ibrahim berkenaan rancangan penstrukturan semula dan pengambilan semula semua konsesi-konsesi air Selangor yang diswastakan masa perdana menteri keempat.

“Antara impian yang pernah diluahkan arwah ialah untuk memberi saham percuma dalam syarikat Air Selangor kepada semua rumah tangga yang merupakan pengguna Air Selangor setelah proses penstrukturan dan pengambilan semula selesai,” katanya dalam catatan di Facebook.

Katanya lagi, proses penstrukturan tersebut berjaya diselesaikan dengan pertolongan dan sokongan kerajaan pusat ketika beliau menjadi perdana menteri.

“(Namun) Khalid tak sempat merealisasikan impian seterusnya akibat dikhianati dan dipecat oleh partinya,” tambahnya.

Khalid mula berkhidmat sebagai menteri besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 sebelum dipecat oleh PKR pada 2014.

Beri pengguna saham Air Selangor, tunai impian Khalid, saran Najib kepada BN

Berkaitan