Terkini!! Annuar Musa kata permuafakatan UMNO, Pas mampu selamatkan ummah

Permuafakatan antara UMNO dan Pas mampu memperkasa perjuangan menyelamatkan watan serta ummah, kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, negara kini memerlukan sebuah kerajaan kuat, politik stabil dan saf kepimpinan yang cukup berpengalaman serta berkebolehan kerana bakal berdepan cabaran global amat besar mulai tahun depan.

Justeru, katanya, semua pihak harus menyambut baik kenyataan rasmi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam, yang membawa sinar dan harapan baharu kepada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pas.

“Roh serta semangat nota persefahaman dan Piagam Muafakat Nasional perlu disemarakkan semula, di saat perhitungan besar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini benar-benar hampir tiba.

“UMNO dan Pas adalah dua parti teras dan tunjang yang membina negara bangsa. Cita-cita perjuangan kedua-dua parti ini lahir dari rahim dan kandungan politik yang sama,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Dalam kenyataan semalam, Ahmad Zahid mengesahkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengunjungi dan mengadakan pertemuan di kediamannya pada 17 September lalu.

Kata beliau, pertemuan empat mata itu berlangsung dengan penuh harmoni berteraskan semangat mahabbah dan ukhuwwah persaudaraan Islamiah.

“Banyak perkara diperbincangkan termasuk mengenai agenda penyatuan ummah yang pernah digerakkan bersama satu ketika dulu,” kata Ahmad Zahid.

Menurut Annuar yang merupakan bekas Setiausaha Agung BN, negara perlu dipulihkan dan dengan ekonomi dunia serta geo politik serantau semakin kompleks, parti itu tidak mampu berpecah belah serta kembali menjadi lemah.

“Negara dan rakyat perlu dibela sepenuhnya. Inilah masanya,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Permuafakatan UMNO, Pas mampu selamatkan ummah – Annuar

Terkini

Berita Berkaitan