KUALA LUMPUR – Pihak yang mempolitikkan isu iklan SugarBook secara tidak langsung memberi publisiti dan promosi percuma kepada syarikat berkenaan, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Beliau berkata, kesilapan tersebut telah diperbetulkan dengan menurunkan iklan tersebut, dalam masa yang sama pihak yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu dipamerkan sedang disiasat.
“Ada yang tersilap, maka diturunkan dan disiasat siapa yang luluskan, kalau ada.
“Malangnya, ada yang nak jadikannya isu politik, maka ditular dan mengiklankan syarikat berkenaan secara percuma. Seronok syarikat berkenaan. Free jer dapat publisiti,” katanya di Twitter.
Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) telah mengeluarkan notis amaran serta surat tunjuk sebab kepada pihak syarikat operator, Tetuan Out Of Home susulan paparan visual SugarBook di Bangsar dan Bukit Kiara pada 17 Disember yang lalu.
Susulan itu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sugarbook, Darren Chan berkata, aplikasi itu dibangunkan sebagai platform untuk memberi peluang kepada wanita untuk membuat temu janji dengan memilih secara bebas apa yang mereka mahu dalam perhubungan yang ideal.
Meskipun menyedari kebimbangan tentang aplikasi itu, namun menurut Chan, pihaknya berharap orang ramai memahaminya tujuan mereka yang mengangkat kaum hawa dengan meningkatkan kemampuan mereka untuk memilih secara bebas.-MalaysiaGazette
Ada yang tersilap, maka diturunkan dan disiasat siapa yang luluskan, kalau ada. Malangnya, ada yang nak jadikannya isu politik, maka ditular dan mengiklankan syarikat berkenaan secara percuma. Seronok syarikat berkenaan. Free jer dapat publisiti. https://t.co/WG0Ozu5mY9
— Khalid Samad (@KhalidSamad) December 19, 2019