PETALING JAYA: Semua pusat beli-belah akan ditutup sepanjang tempoh “lockdown” dua minggu kecuali pasar raya dan penjualan makanan dan minuman serta keperluan asas sahaja.
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob juga berkata, sektor perkilangan tidak dibenar beroperasi sepanjang tempoh “lockdown” yang akan bermula 1 Jun ini.
Beliau bagaimanapun memaklumkan ada beberapa operasi kilang dibenarkan dengan jumlah pekerja tidak melebihi 60%, termasuk aeroangkasa, pembungkusan dan percetakan hanya untuk makanan serta kesihatan.
Semua premis makanan, termasuk gerai dibenarkan beroperasi sepanjang “lockdown”, tetapi hanya untuk pembungkusan dan penghantaran seperti yang dilaksanakan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) sejak 12 Mei lalu.
Dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, Ismail berkata, tadika swasta, pusat penjagaan harian dan sekolah, selain pasar malam serta pasar tani, turut dilarang beroperasi.
Bagaimanapun, dobi, klinik veterinar dan kedai cermin mata boleh beroperasi.
Sektor pertanian, ternakan, perikanan, perladangan dan komoditi juga boleh beroperasi, selain yang terlibat dalam rantaian bekalan.
Katanya, semua sektor ekonomi berkaitan perkhidmatan perlu boleh beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.
Berikut adalah 17 sektor ekonomi dan sosial yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh “lockdown”:
- Makanan dan minuman, termasuk untuk haiwan
- Penjagaan kesihatan dan perubatan, termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar
- Air
- Tenaga
- Keselamatan, pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
- Pengurusan sisa pepejal, pembersihan awam dan pembetungan
- Pengangkutan melalui darat, air atau udara
- Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi
- Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja)
- Perbankan, insurans, takaful dan pasaran modal
- Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-rahnu)
- E-dagang dan teknologi maklumat
- Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir
- Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan)
- Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
- Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar
- Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu.
- https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/30/semua-pusat-beli-belah-sektor-kilang-tidak-dibenarkan-beroperasi-ketika-lockdown/