Selepas Rusia, giliran Amerika Syarikat pula dilapor semakin hampir temui vaksin C19

Satu vaksin COVID-19 dihasilkan syarikat farmaseutikal berpangkalan di New York dilaporkan telah melepasi ujian keselamatan dan keberkesanan peringkat awal.

Menurut Daily Mail, ujian klinikal yang dijalankan syarikat Pfizer, universiti dan hospital di Amerika Syarikat telah menunjukkan keputusan yang baik.

Lapor jurnal Nature, hasil suntikan ke atas individu dewasa yang sihat mendapati mereka menghasilkan tindak balas imun yang setara atau lebih baik berbanding pesakit koronavirus yang telah sembuh.

Seramai 45 individu sihat berusia 18 hingga 55 tahun telah dipilih dalam ujian berkenaan. Separuh daripada mereka diberikan suntikan vaksin dan separuh lagi diberikan suntikan palsu.

“Peserta yang disuntik vaksin mempunyai kadar antibodi terhadap koronavirus 1.9 hingga 4.6 lebih tinggi berbanding pesakit yang sembuh daripada SARS-CoV-2,” lapor Medical Xpress memetik kenyataan jurnal berkenaan.

Walaubagaimanapun, pasukan penyelidik menekankan fasa tiga percubaan ke atas populasi yang lebih besar adalah diperlukan untuk menjamin keselamatan, kekuatan dan durasi keberkesanan vaksin tersebut memberi perlindungan.

Laporan juga mendapati tiada kesan sampingan berbahaya ke atas 36 orang dewasa yang menerima suntikan dalam kajian itu. Pun begitu, sebahagian mereka dilapor mengalami rasa sakit kepala, demam dan keletihan yang dipercayai bakal hilang dalam tempoh seminggu pemvaksinan.

Vaksin yang dinamakan BNT162b1 itu dibangunkan berdasarkan kod genetik dikenali sebagai messenger RNA (mRNA). Ia bertindak dengan merangsang respon sistem imun tubuh apabila berhadapan koronavirus baru.

https://siakapkeli.my/2020/08/13/selepas-rusia-giliran-amerika-syarikat-pula-dilapor-semakin-hampir-temui-vaksin-covid-19/

Terkini

Berita Berkaitan