Rumah Terbuka Malaysia Madani – Ini ‘mencabar maruah negeri’, kata PN

PN menganggap langkah Putrajaya mengadakan siri Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri tidak lama lagi sebagai sesuatu yang ‘melampau’ serta mencabar maruah kerajaan terbabit.

Menurut Timbalan Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan ia malah tidak menyumbang kepada pembinaan hubungan yang baik di antara kerajaan pusat dan negeri. selain “tidak bermanfaat.”

“Tindakan melangkahi sempadan hormat dan adab antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri dalam konteks ini jelas mencabar imej serta maruah negeri-negeri dan tentulah tidak akan menyumbang kepada hubungan baik dan saling mempercayai antara kedua-dua belah pihak.

“Keadaan ini juga tentulah tidak bermanfaat kepada rakyat dan negara serta usaha dan cita-cita untuk mewujudkan sebuah persekutuan yang kuat dan saling mengukuhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Putrajaya bercadang mengadakan program massa membabitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan orang awam di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Ia dikecam pembangkang kerana dianggap menjadi cara kerajaan pusat berkempen kerana keenam-enam negeri terbabit bakal mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.

Bagaimanapun Putrajaya mempertahankan langkah tersebut dan menafikan ia akan membazir.

Motif politik tak boleh disorokkan

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata enam majlis sambutan Aidilfitri itu “jauh tersasar” dan “tercemar” dari matlamat sebenar perayaan berkenaan kerana menyasarkan lokasi yang akan mengadakan pilihan raya negeri (PRN).

Katanya sambutan bersiri itu melanggar konvensyen dan adab hubungan dio antara kerajaan pusat dan negeri-negeri dari segi wibawa dan bidang kuasa masing-masing.

Menurut Takiyuddin adalah lebih manis jika Putrajaya mengekalkan amalan pembahagian tradisi tersebut dengan kerajaan pusat menganjurkan rumah terbuka utama di peringkat kebangsaan saja.

Langkah berkenaan, tambah bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, menunjukkan tanda hormat terhadap wibawa dan bidang kuasa negeri.

“Retorik basi dan sumbang kononnya PAS – dan sekarang ini PN – adalah parti yang menunggang agama untuk tujuan politik nampaknya kini berbalik kepada kerajaan pusat sendiri yang ‘menculik’ majlis penting tahunan Islam itu bagi mencapai matlamat kuasanya,” kata Takiyuddin.

Ahli parlimen Kota Bharu itu juga menyatakan rasa bimbang PN terhadap kemungkinan kerajaan pusat yang didakwa akan menyalahgunakan jentera serta agensi kerajaan.

Kata Takiyuddin “motif politik” kerajaan “tidak boleh disorokkan lagi” melalui penganjuran rumah terbuka tersebut.

“Justeru kerajaan pusat perlu memberi jaminan ia tidak berlaku, selain memastikan semua janji dan slogan tentang salah guna kuasa, penyalahgunaan jentera dan kelemahan pengurusan yang diuar-uarkan mereka sebelum ini tidak hanya tinggal slogan dan janji di bibir semata-mata,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/663255

Terkini

Berita Berkaitan