RM350 sehari dengan jual badan, warga asing buat onar

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Mampu mengaut RM350 sehari hasil melakukan kegiatan pelacuran.

Itu kegiatan dilakukan sepuluh wanita warga Vietnam yang masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebagai pelancong tetapi bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan Jalan Bandar Puteri Puchong dekat sini.

Bukan itu sahaja, kesemua wanita terbabit juga mampu meraih pendapatan lebih RM350 sehari bergantung pada jumlah pelanggan yang mereka layani.

Kegiatan kesemua wanita tersebut bagaimanapun terbongkar selepas mereka ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semalam.

Serbuan yang bermula kira-kira pukul 10.30 malam hingga 12.30 tengah malam itu turut menahan tujuh lelaki terdiri lima warga Myanmar dan dua tempatan.

Semasa serbuan suasana pusat hiburan itu bertukar

kecoh apabila warga asing ini cuba meloloskan diri melalui pintu belakang.

Namun tindakan mereka sia-sia disebabkan anggota polis sudah mengepung premis terlebih dahulu.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Azmi Shukor berkata, hasil siasatan mendapati pusat hiburan tersebut mempunyai lesen yang sah malah sudah tiga kali diserbu.

Ujarnya, pusat hiburan tersebut mula beroperasi pada awal tahun ini namun satu perbincangan akan dilakukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar menilai semula berhubung lesen mereka untuk tahun akan datang.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959 dan 1963 kerana menggajikan pekerja asing tanpa permit dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salahguna pas lawatan sosial,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Terkini

Berita Berkaitan