KUALA LUMPUR 25 Ogos – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy berterusan mengkritik mana-mana pihak yang mempertahankan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik untuk kekal tinggal di Malaysia.
Terbaru, beliau menzahirkan kekesalan terhadap tindakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengubah pendirian apabila Zakir membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa menyentuh sensitiviti kaum lain dalam ceramahnya di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Prai dari parti DAP itu turut menyifatkan permohonan maaf Zakir sebagai tidak ikhlas dan cuba menyembunyikan fakta sebenar.
“Tindakan Syed Saddiq membuat pusingan 360 darjah bukan sahaja mengejutkan semua pihak malah turut dipersoal bagaimana begitu mudah beliau mengubah pendirian.
“Syed Saddiq sepatutnya menyedari hakikat di sebalik permohonan maaf Zakir, adakah anda benar-benar rasa beliau ikhlas?” katanya menerusi perkongsian status dalam Facebooknya hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ahli Parlimen Muar itu yang meminta semua pihak supaya fokus kepada isu lain lebih penting berkaitan rakyat.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian status lain, P. Ramasamy turut mengkritik pendirian Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran yang menyerahkan kepada Putrajaya untuk menentukan kedudukan Zakir.
“MIC sekadar menzahirkan rasa tidak puas hati kepada Pas yang tidak menasihatkan Zakir supaya berhenti menyentuh sensitiviti kaum lain. MIC seolah-olah tidak kisah dengan kehadiran Zakir ke negara ini.
“MIC dilihat terus berhalusinasi sebagai wakil kaum India di negara ini sedangkan parti itu sudah tiada fungsi kecuali mengeluarkan kenyataan akhbar dan menganjur pertemuan berbentuk keagamaan.” katanya. – UTUSAN ONLINE