Thursday, October 5, 2023

Rakyat Kelantan jangan hanya pilih taksub untuk membuat pilihan – Zahid

Rakyat negeri ini dingatkan jangan terlalu taasub membuat keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dengan memilih kerajaan yang gagal menjaga kebajikan mereka sebaik sahaja diberi mandat mentadbir.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu boleh memberikan kesan jangka panjang jika mereka memilih kepimpinan tidak sealiran dengan peringkat pusat.

“Oleh itu, UMNO sekali lagi menawarkan pada PRN nanti…beri peluang kepada kerajaan di Putrajaya yang membentuk gabungan bersama parti-parti sedia ada khususnya UMNO dan BN untuk mentadbir.

“Hal ini bagi memberi ruang kepada kita membuktikan kemampuan melakukan perubahan demi rakyat Kelantan,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Felcra, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Menurut beliau, jika UMNO dan BN serta parti gabungan lain gagal melakukan perubahan rakyat boleh menghukum pada pilihan raya berikutnya.

Ujarnya, UMNO dan BN tekad membawa perubahan yang lebih kepada seluruh rakyat negeri ini dengan menyelesaikan pelbagai masalah termasuklah isu air.

Ahmad Zahid memberitahu, selain air, kemudahan infrastruktur turut ditawarkan kepada masyarakat di luar bandar bagi memastikan mereka menikmati kehidupan lebih baik.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, projek bernilai RM7.2 bilion yang diserah kepada kontraktor program Jana Wibawa membabitkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan ditender semula selepas dibatalkan.

Ahmad Zahid berkata, keputusan membatalkan perkara berkenaan dibuat oleh Kementerian Kewangan.

“Projek itu akan ditender semula mengikut prosedur dan tata etika kewangan yang mesti dihormati.

“Kita tahu ada sedikit gangguan dari segi pelaksanaan dan yakinlah sekiranya tata etika dan peraturan diikuti, ia akan dilakukan segera,” katanya.

Sinar Harian

Berkaitan