Saturday, September 23, 2023

Pulak dah! Bangkok lapor kes pertama varian Beta menular dari Malaysia

BANGKOK – Kes pertama Covid-19 varian Beta yang pertama kali dikesan di Afrika selatan kini ditemui di Bangkok, lapor akhbar Bangkok Post semalam.

Satu sumber memaklumkan, siasatan awal mendapati pesakit yang dijangkiti adalah berkait kes jangkitan di wilayah Narathiwat.

Varian Beta yang menular itu dipercayai dibawa dari negara jiran Malaysia.

Sebanyak 11 kluster baharu Covid-19 ditemui di lapan wilayah kelmarin dan pihak berkuasa memantau secara dekat beberapa lokasi seperti kilang, pasar dan tapak pembinaan yang berisiko tinggi.

11 kluster baharu itu dengan empat daripadanya dilaporkan di Bangkok menjadikan jumlah kluster Covid-19 yang masih aktif di Thailand meningkat kepada 111. Ia termasuk kluster tapak pembinaan di Huai Kwang, kilang roti di Lat Krabang dan sebuah kem pembinaan dan hotel di daerah Bang Phlat.

Kadar jangkitan di Bangkok dan kawasan sekitar tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dengan situasi di beberapa kawasan di  selatan Thai  dikaitkan dengan pengumpulan sosial.

Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Majlis Keselamatan Negara, Jeneral Natthapol Nakpanich mendapati bahawa kes di wilayah utara dan selatan kebanyakannya berkaitan dengan perjumpaan sosial, sementara kebanyakan jangkitan di wilayah timur dan tengah dilaporkan di kilang dan pasar bersaiz besar.

Negara itu melaporkan 42 lagi kematian Covid-19 dan 3,995 kes baharu semalam termasuk 45 di penjara dan 35 kes import yang menjadikan jumlah kematian menjadi 1,912 dan keseluruhan jumlah kes sejak bermulanya wabak itu menjadi 244,447.

Lonjakan jangkitan Covid-19 di Greater Bangkok dan wilayah paling selatan mendorong pemerintah untuk melaksanakan langkah-langkah yang lebih ketat di wilayah tersebut selama satu bulan bermula semalam. -Agensi

Berkaitan