Bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Osman ‘menasihatkan’ calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli agar tidak terlalu obsesi dalam mengejar jawatan hingga mempertikaikan keperluan audit forensik terhadap pemilihan parti.
Syed Badli Shah menegaskan, jika bekas Naib Presiden PKR itu terbukti dipilih oleh akar umbi, biarlah kemenangan itu diperoleh secara telus dan adil.
Katanya, tindakan Rafizi mempertikaikan audit forensik menunjukkan sikap angkuh dan sombong beliau.”Kenapa sekarang Rafizi membangkitkan seolah-olah audit forensik yang sedang dijalankan ini sebagai usaha menghalang beliau dari menjawat jawatan Timbalan Presiden.
“Apakah beliau sebenarnya khuatir yang kemenangan beliau akan terjejas jika kepincangan kepada proses pemilihan ini dapat dibuktikan?” Soalnya dalam kenyataan, pada Rabu.
Pada Selasa, Rafizi dilaporkan berkata, tuntutan mengadakan audit digital bagi keputusan pemilihan PKR hanyalah permainan segelintir ahli parti itu yang kalah dalam pemilihan berkenaan.
Syed Badli Shah mendakwa, dalam kenyataan itu juga, Rafizi turut memperlekehkan kewibawaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan kononnya terdapat segelintir mereka yang berada dekat dengan Ahli Parlimen Port Dickson itu sedang berusaha menghalang keputusan itu dari diumumkan.
Menurutnya, dakwaan Rafizi itu dilihat bercanggah kerana pada 15 Mei lalu Rafizi sendiri mengeluarkan satu kenyataan mengakui terdapat masalah teknikal terhadap proses pemilihan parti yang sedang berlangsung.