Saturday, September 23, 2023

Prestasi tak memberangsang dalam 4 PRN antara agenda utama Kongres Nasional PKR

Prestasi tidak memberangsangkan PKR dalam empat pilihan raya negeri (PRN) sepanjang tempoh 2020 hingga Mac 2022 menjadi antara agenda utama Kongres Nasional parti itu, yang dijangka berlangsung Jun ini.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, berkata siri kekalahan itu menuntut pengubahsuaian terhadap strategi, naratif kepada rakyat, latihan jentera pilihan raya dan penggunaan data yang sesuai dengan cabaran pilihan raya semasa.

“Kita tidak pernah mengamalkan sikap sindrom penafian dan kita akan bersemuka dengan isu ini secara berdepan,” katanya memetik laporan Bernama.

Untuk rekod, PRN Sabah pada 26 September 2020 menyaksikan PKR hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri, kalah di semua kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka (20 Nov 2021) serta Sarawak (18 Dis 2021) dan menang di satu kerusi pada PRN Johor 12 Mac lalu.

Mengulas mengenai hasrat Naib Presiden PKR Tian Chua untuk tidak mempertahan jawatannya pada pemilihan parti kali ini, Saifuddin berkata, beliau menghormati perdirian pemimpin itu.

“Saya percaya beliau ada alasan tersendiri untuk tidak bertanding namun yang paling penting, beliau menegaskan akan kekal dalam parti… beliau mahu memperkukuh parti menggunakan keupayaannya (tanpa jawatan dalam parti),” katanya.

Hari ini, media melaporkan Tian Chua mengesahkan tidak bertanding bagi jawatan Naib Presiden namun akan mempertahan jawatan sebagai Ketua Bahagian Batu selain berhasrat membantu parti mengukuhkan sokongan akar umbi bagi berdepan PRU akan datang.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/03/27/prestasi-tak-memberangsangkan-dalam-4-pilihan-raya-antara-agenda-utama-kongres-nasional-pkr-kata-saifuddin/

Berkaitan