JOHOR BAHRU: Penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam Muafakat Nasional (MN) yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat disifatkan sebagai detik bersejarah buat parti dan sistem politik negara.
Beberapa pemimpin utama parti MN dan BERSATU di Johor melihat keputusan itu sebagai ‘permulaan yang baik’ untuk meneruskan agenda pembangunan negara menerusi kerjasama di antara parti politik utama negara.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata keputusan itu amat dialu-alukan sekali gus diharap dapat mengembalikan roh perjuangan untuk mematikan pembangunan negara yang lebih terjamin.
Katanya, UMNO Johor melihat keikhlasan Perdana Menteri yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin apatah lagi keputusan itu diumumkan secara terbuka di negeri ini.
“UMNO Johor melihat keikhlasan BERSATU itu diterjemah dalam bentuk penyatuan ummah dalam MN. Sebagai Ketua Penerangan UMNO Johor, kita sangat mengalu-alukan langkah BERSATU ini dan ia adalah berita yang sangat baik dan menggembirakan.
“Kita juga mengajak semua pihak yang masih berpendirian dan mempunyai persepsi berbeza supaya terima keputusan ini dengan berlapang dada kerana ia adalah permulaan sangat baik untuk melaksanakan tanggungjawab lebih besar pada negara,” katanya selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama Muhyiddin, malam tadi.
Kira-kira 300 pemimpin dan anggota parti UMNO, BERSATU, PAS, MCA dan MIC Johor menghadiri pertemuan tertutup yang dikatakan membincangkan kerjasama politik dan masa depan hala tuju kerjasama di antara parti komponen Barisan Nasional (BN) dan MN.
Semalam, Muhyiddin yang juga pemangku Pengerusi BERSATU dilaporkan berkata, penyertaan BERSATU dalam MN akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir berkata, dengan menyertai MN yang mendukung Perikatan Nasional (PN) maka BERSATU akan berada dalam satu gabungan besar atau ‘the grand coalition’.
Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin, berkata pihaknya tiada halangan untuk BERSATU menyertai MN dan berharap penyertaan itu akan menjadi kenyataan dalam waktu terdekat sekali gus mengukuhkan lagi gabungan itu.
“Kita (PAS) di peringkat persekutuan dan negeri memang jadi pendamai dan tiada apa-apa kepentingan malah kita sudah menemui semua pihak sebelum ini lagi supaya mengukuhkan perpaduan antara ummah.
“Dengan Pengerusi BERSATU Johor (Mazlan Bujang), PAS juga sudah buat kunjungan hormat, dengan Datuk Hasni Mohammad (Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor) pun memang selalu jumpa.
“Kami mengingatkan supaya dapat memastikan kerjasama sebaik mungkin dengan toleransi dan saling bermuafakat perlu menjadi asas utamanya,” katanya sambil menambah seramai 52 orang pemimpin daripada Badan Perhubungan PAS Johor menghadiri perjumpaan bersejarah malam tadi.
Sementara itu, Mazlan berkata BERSATU Johor akur dan taat dengan keputusan pucuk pimpinan untuk bekerjasama menerusi penyertaan parti itu ke dalam MN.
Beliau berkata, pada majlis perjumpaan berkenaan, Muhyiddin juga mengingatkan semua pihak supaya menjaga hubungan masing-masing dan perlu bersikap saling bertolak ansur supaya gabungan MN dan PN terus utuh.
“Presiden memaklumkan semua yang hadir bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah menjemputnya untuk kerjasama antara BERSATU, UMNO dan PAS bagi mengukuhkan MN.
“Semuanya ‘happy’ dan ‘enjoy’. PAS pun ada bersama julung kali dalam sejarah. Tan Sri (Muhyiddin Yassin) cakap betullah, tidak pernah kita (BERSATU) terfikir PAS bersama semeja dengan kita, hari ini kita semeja dengan PAS.
“Macam UMNO, dia sudah bersama dengan PAS. Kita belum bersama, ini kali pertama kita dalam satu majlis formal dengan PAS.
“Kita di akar umbi akur dengan kerjasama ini dan menyifatkan ia adalah kerjasama terbaik. Tan Sri memaklumkan dinamik politik sentiasa berubah apatah lagi dalam keadaan sekarang yang luar biasa kerana wabak COVID-19, politik juga perlu jadi luar biasa untuk berhadapan apa juga situasi untuk memikirkan apa yang terbaik untuk rakyat dan negara, ” katanya.
https://beta.bharian.com.my/berita/politik/2020/08/721775/pn-bn-johor-mengalu-alukan-penyertaan-bersatu-dalam-mn