PH tidak pernah guna pun dana KWAN semasa memerintah – Guan Eng

PETALING JAYA: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menempelak tindakan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk memperoleh vaksin Covid-19 dan membiayai perbelanjaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Beliau mendakwa, kerajaan menggunakan kuasa darurat untuk mengambil dana yang sepatutnya digunakan untuk mengumpul simpanan wang kerajaan dan menyediakan pembiayaan alternatif untuk perbelanjaan pembangunan bagi menebus peruntukan dari Belanjawan 2021.

“Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa kerajaan kehabisan wang tetapi menyentuh dana untuk anak-anak kita dan pelaburan masa depan adalah sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) walaupun pada masa-masa yang paling sukar,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan kurang membuat pelaburan dalam dana KWAN selepas dana itu mempunyai aset bernilai RM17.4 bilion pada akhir tahun 2018, walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan pengendali dana tersebut semua sumbangan diperoleh dari Petronas.

“Malaysia telah kurang membuat pelaburan bagi KWAN. Kekurangan pelaburan ini sangat teruk sehingga ada dana yang serupa di negara lain lebih besar daripada dana milik Malaysia.

“Sebarang penjarahan terhadap KWAN akan membantut kemajuan dalam membina dana tersebut. Terdapat kaedah yang lebih baik untuk membiayai pembelian vaksin negara,” katanya dalam kenyataan.

Guan Eng berpendapat, kerajaan sepatutnya meminjam wang dengan pihak lain dan meningkatkan tahap defisit.

“Ini terutamanya apabila kadar pinjaman kerajaan dalam beberapa bulan terakhir adalah yang paling murah dalam sejarah.

“Pada 21 April 2021, bon konvesional 10 tahun kerajaan Malaysia diperdagangkan dengan hasil 3.09 peratus. Sebagai perbandingan, purata hasil 10 tahun adalah pada 4.08 peratus untuk tahun 2018, 3.31 peratus untuk tahun 2019 dan 2.65 peratus untuk tahun 2020,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, sekiranya kerajaan benar-benar memerlukan lebih banyak wang untuk membeli vaksin, jumlah tersebut dapat dikumpulkan dengan mudah dalam pasaran dengan kos yang murah dan hanya kesan kecil terhadap nisbah defisit.

“Sebagai gambaran, jika kerajaan mengumpulkan RM20 bilion tambahan dalam bentuk bon, ini akan meningkatkan nisbah defisit-ke-KDNK 2021 dengan hanya satu mata peratusan daripada tahap semasa.

“Berdasarkan Belanjawan 2021, kerajaan mengunjurkan nisbah defisit akan turun kepada 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 6.2 peratus pada tahun 2020,” katanya.

Namun, Guan Eng menyifatkan ordinan darurat membolehkan kerajaan berbelanja sesuka hati dengan meluluskan belanjawan tambahan puluhan bilion ringgit tanpa kelulusan Parlimen.

“Melangkau Parlimen membuka kepada kemungkinan penyalahgunaan dan penyelewengan.

“Apa yang tidak masuk akal ialah 220 Ahli Parlimen telah diberi vaksin tetapi belum dibenarkan menghadiri Parlimen. Apa gunanya menghabiskan RM5 bilion untuk vaksin dan langkah-langkah yang berkaitan dengan Covid-19?” soalnya.

Justeru, beliau selaku Setiausaha Agung DAP memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta kerajaan membuka semula Parlimen supaya ahli Parlimen dapat meneliti dana yang telah digunakan.

“Walaupun RM622 bilion dibelanjakan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021, kerajaan gagal mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan dengan menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan, bahkan menyaksikan kenaikan harga makanan dan barang keperluan, seperti ayam.

“Rakyat mesti bersatu menentang pengurusan kewangan negara yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap dengan menjarah KWAN,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Terkini

Berita Berkaitan