PH selesai pembahagian kerusi, nampaknya ‘Muda’ tercicir untuk mendapat tempat

Pakatan Harapan (PH) sudah memuktamadkan pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen untuk Melaka, termasuk di peringkat parlimen.

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata ia ditentukan selepas melalui proses yang panjang bermula dari peringkat bawah hingga akhirnya dikemukakan untuk diputuskan majlis presiden.

Bagi PRN Melaka kata Anwar DAP kekal meletakkan calonnya di lapan kerusi.

Bagaimanapun Amanah dan PKR masing-masing mendapat tambahan tiga kerusi ekoran kedudukan Bersatu yang kini tidak lagi bersama dengan PH.

Dengan perkembangan itu Amanah akan bertanding di sembilan kerusi manakala PKR 11. Secara keseluruhan DUN Melaka mempunyai 28 kerusi.

Pengumuman dibuat Anwar hari ini menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sudah menyatakan rancangan mereka menyertai PRN Melaka.

 

Pada 27 Okt lalu presiden penaja Muda Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata parti itu dalam proses perundingan dengan PH bagi pengagihan kerusi.

“Muda membuat pendirian tetap untuk bertanding pada PRN ini. Kami akan berunding dengan parti-parti pembangkang dan akan mengumumkan perkara ini bersama selepas tempoh rundingan tamat,” katanya.

Sementara itu mengenai pembahagian kerusi parlimen untuk PRU akan datang, Anwar berkata, PKR dan Amanah kekal mendapat dua kerusi seperti yang berlaku pada 2018.

DAP pula, katanya, mendapat kembali kerusi tradisinya iaitu Alor Gajah yang sebelum ini ditandingi Bersatu.

“Pada PRU akan datang DAP akan dapat tambahan kerusi Alor Gajah kerana ini kawasan tradisi yang ditandingi mereka sejak awal tetapi diserahkan kepada Bersatu (sebelum ini).

“Justeru kerusi Alor Gajah akan kembali kepada DAP,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media hari ini ialah Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ditanya mengenai kedudukan Muda, Anwar berkata, proses perbincangan masih berjalan.

“Ada perbincangan yang masih diteruskan… masih berbincang,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/597183

Terkini

Berita Berkaitan