Perghh! Saintis cipta pelitup muka boleh kesan virus Covid-19

CAMBRIDGE, MASSACHUSETTS – Sekumpulan saintis dari Universiti Harvard mencipta sejenis pelitup muka yang boleh mengesan kehadiran virus Covid-19 dalam udara ketika individu memakainya, lapor akhbar The Sun semalam.

Pelitup muka itu menggunakan sejenis fabrik yang mempunyai sensor yang mampu mengubah warnanya sekiranya udara mengandungi virus tersebut.

Saintis-saintis itu mendakwa, pelitup muka itu dapat mengesan Covid-19 menyamai ketepatan ujian makmal, malah mengambil masa kurang 90 minit untuk menghasilkan keputusan.

“Kami telah memuatkan kesemua peralatan makmal ke dalam sensor kecil yang boleh diletakkan dalam pelitup muka.

“Ia menggabungkan ketepatan ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dengan ujian antigen yang berkos rendah dan pantas,” ujar saintis dari Universiti Harvard, Dr. Peter Nguyen.

Pelitup muka tersebut diperbuat menggunakan enzim yang bertindak balas terhadap bahan kimia dalam virus Covid-19.

Fungsinya boleh dihidupkan dengan cara menekan satu butang khas yang akan kekal normal sehingga virus dikesan memasuki ke dalam pelitup muka.

Ia kemudiannya akan bertindak balas dengan enzim  sekali gus menyebabkan warna pelitup muka berubah.

“Warna tersebut akan berubah pada bahagian dalam pelitup muka bagi tujuan privasi,” kata Nguyen.

Sementara itu, tambahnya, selain pelitup muka, biosensor tersebut boleh diintegrasikan dengan pakaian lain bagi menyediakan perlindungan bergerak kepada pemakai.

Bagaimanapun, buat masa ini, hanya prototaip yang telah dicipta, dan pasukan saintis berharap agar mana-mana pihak tampil untuk menghasilkan alat tersebut untuk dijual di pasaran. – AGENSI

Saintis cipta pelitup muka boleh kesan virus Covid-19

Terkini

Berita Berkaitan