KUALA LUMPUR: Pembangunan ekonomi Malaysia dijangka meningkat selewat-lewatnya menjelang Jun tahun ini, membolehkan kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada 4.8% berbanding 4.7% pada 2019.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan kekal optimis walaupun kalangan ahli ekonomi dan Bank Dunia menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.5% pada tahun ini berbanding unjuran awal pada 4.6%.
“Kita yakin untuk mengekalkan unjuran pertumbuhan tersebut, disokong oleh harga komoditi yang semakin pulih selain faktor perkembangan pelaburan awam khususnya perbelanjaan kerajaan serta prospek penyelesaian perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China,” kata beliau dalam temu bual dengan Bernama.
Lim berkata terdapat beberapa kementerian mengagihkan peruntukan perbelanjaan pembangunan bawah Belanjawan 2019 pada Mei atau Jun walaupun wang dikeluarkan pada Januari.
“(Susulan itu) tender hanya boleh dijalankan pada September atau Oktober manakala tawaran hanya dibuat pada 2 bulan atau 3 bulan kemudian. Oleh itu, kerja-kerja hanya boleh dimulakan pada akhir tahun ini ataupun tahun depan.
“Berikutan itu, tiada masalah bagi perbelanjaan pembangunan pada 2019 membabitkan projek-projek yang sedang berlangsung tetapi bagi projek baru, ia akan dibawa ke tahun hadapan dan ditambah dengan belanjawan (pembangunan baru) bagi 2020,” katanya.
Ekonomi Malaysia juga dijangka rancak dan mendapat rangsangan sekiranya perang perdagangan Washington-Beijing dapat diselesaikan.
Ini sejajar status negara sebagai ekonomi pengeksport dan sebarang penyelesaian perbalahan perdagangan membabitkan dua kuasa besar ekonomi itu mampu memberi manfaat kepada Malaysia.
“Mahu tidak mahu, kita dipengaruhi oleh keadaan atau suasana perdagangan. Oleh itu, apabila kita lihat prospek pertumbuhan perdagangan sedunia hanya 1.2% iaitu kadar paling rendah dalam 10 tahun, kita menjangkakan untuk mencapai pertumbuhan KDNK pada 4.7%.
“Bagi 2020 pula, prospek pertumbuhan perdagangan dunia dijangka meningkat kepada 3%. Sehubungan itu, kita yakin unjuran 4.8% dapat dicapai dan melihat pertumbuhan lebih tinggi sekiranya perang perdagangan AS-China dapat diselesaikan,” katanya.