PELIK? Kenapa bekas AG membisu mengenai Zeti, Nor Mohamed, soal pengarang

Pengarang buku mengenai kerajaan Najib Razak mempersoalkan mengapa bekas Peguam Negara (AG) Tommy Thomas tidak menyebut mengenai kontroversi “Laporan kes AmBank” ketika mengulas buku itu.

Romen Bose, yang juga bekas pembantu Najib Razak berkata: “Saya bingung bagaimana Thomas dapat membaca bab 1MDB tetapi gagal menyentuh mengenai sesuatu yang begitu nyata, iaitu kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2018/2019 yang didakwa mengenai bekas Gabenor Bank Negara Zeti Akhtar Aziz dan bekas menteri Nor Mohamed Yakcop.”

“Laporan kes AmBank” didakwa mendedahkan bahawa keluarga Zeti dan Nor Mohamed menerima dana yang dikaitkan dengan 1MDB.

“Ini membingungkan, memandangkan beliau adalah Peguam Negara ketika semua ini didakwa berlaku,” kata Bose dalam satu respons kepada ulasan buku oleh Thomas yang antara lain menyifatkan Bose sebagai pengampu Najib.

“Memandangkan minatnya terhadap buku saya dan penglibatannya dalam pendakwaan Najib, saya minta Thomas mengesahkan sama ada ‘Laporan kes AmBank’ itu sahih atau tidak? Jika ia sahih, kenapa tindakan terhadap Zeti dan Nor (Mohamed) Yakcop tidak diambil?

“Jika Thomas tidak ingat atau tiada salinan dokumen ini, saya amat berbesar hati untuk memberikannya salinan sebagai rujukan.”

Bose mendakwa, walaupun Zeti menafikan mengetahui mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib, laporan itu menyatakan beliau telah dimaklumkan oleh pengarah urusan AMMB Holdings dan “tahu mengenai transaksi itu”.

Beliau juga menyifatkan komen Thomas sebelum ini bahawa tiada kertas siasatan disiapkan sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai “alasan mudah”.

“Adakah kita anggap rakyat akan percaya bahawa SPRM tidak menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh 20 bulan?” soalnya.

Bose berkata, Peguam Negara sepatutnya sudah melihat kertas siasatan awal itu dan tahu mengenai jenayah yang dikatakan dilakukan Zeti, suaminya (didakwa pemilik akaun yang menerima dana) dan Nor Mohamed.

Beliau mempersoalkan sama ada pengetahuan mengenai “Laporan kes AmBank” menyebabkan Zeti dan Nor Mohamed tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan SRC International Najib.

“Adakah kerana Thomas dan pasukannya sedar jika pasukan pembelaan Najib tahu mengenai kertas siasatan itu, bayaran yang didakwa diterima daripada Jho Low (dikatakan berjumlah beberapa ratus juta dolar) akan menjadi pengetahuan umum dan mengucar-ngacirkan ‘perbicaraan abad ini’ yang dikendalikan oleh Thomas?”

“Adakah Thomas takut jika beliau mengesahkan kertas siasatan yang didakwa itu maka akan menjadi jelas kepada semua rakyat Malaysia bahawa Peguam Negara tiada kes sebenar dan keseluruhan perbicaraan itu adalah palsu bagi menyembunyikan penganiayaan politik terhadap Najib Razak?”

Buku Bose yang bertajuk “Final Reckoning: An Insider’s View of The Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government” mendedahkan butiran di sebalik tabir pentadbiran Najib.

Dalam buku itu, bekas wartawan itu membuat pendedahan mengenai peristiwa-peristiwa yang berlaku sekitar kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) pada 2018, mengimbas kembali pergolakan dalaman yang membawa kepada kejatuhan kerajaan dan perjanjian saat akhir yang dibincangkan pada malam pilihan raya itu sendiri untuk cuba mendapatkan kembali kuasa.

Kenapa bekas AG membisu mengenai Zeti, Nor Mohamed, soal pengarang

Terkini

Berita Berkaitan