Kemelut pelantikan Menteri Besar (MB) Johor bukan masalah dalaman UMNO tetapi ia di luar kawalan parti.
Ini kerana, sebelum, semasa dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara konsisten mencalonkan Datuk Hasni Mohammad sebagai peneraju kerajaan negeri itu.
Lantaran itu, penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berpendapat, kemelut pelantikan MB Johor bukan satu perebutan dalaman.
“Saya percaya semua orang faham situasi yang berlaku ini. Tiada siapa yang boleh membuat dakwaan wujud ada ‘kumpulan baharu’ yang membuat desakan pengganti Hasni atau sebaliknya kerana situasinya bukan begitu,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, Azmi memuji cara Hasni berdepan dengan situasi semasa melalui kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Jelas beliau, ternyata Hasni seorang pemimpin Melayu yang berjiwa besar apabila meletakkan kepentingan rakyat dan negeri melebihi kepentingan diri dan parti.
Cuma, katanya, UMNO perlu mengambil langkah berhemah, cukup berhati-hati dan melalui pendekatan terbaik dalam menyelesaikan isu ini bagi menjaga air muka pemimpin-pemimpin yang terlibat dan menoktahkan persoalan-persoalan dalam kalangan kepimpinann, akar umbi, penyokong-penyokong parti dan rakyat.
Ditanya adakah isu ini boleh menjejaskan kredibiliti UMNO dan BN dalam kalangan parti-parti lain, Azmi tidak menolak kemungkinan ia akan dijadikan modal politik.
“Tapi, awas. Jika perkara ini berlaku ia akan menjadi bola tanggung kepada parti atau pemimpin politik yang memainkan sentimen ini. Ia boleh ‘terpercik di muka sendiri’ nanti.
“Isu ini amat sensitif sebab itu kita lihat bagaimana pemimpin UMNO (semalam) tidak berterus-terang sebaliknya menanganinya dengan cukup halus.
“Lagipun situasi ini bukan kali pertama dan pernah berlaku di negeri-negeri lain juga. Oleh itu apabila bercakap perlu berhati-hati,” ujarnya. – MalaysiaGazette
Pelantikan Menteri Besar Johor di luar kawalan UMNO – Penganalisis