Parti Pejuang sasar bantu 100,000 penganggur

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan bantuan kepada 100,000 penggangur dan golongan usahawan melalui program gerakan ekonomi Pejuang yang dilancarkan pada 19 Disember 2021 lalu.

Ketua Biro Ekonomi Pusat Parti Pejuang Tanah Air, Armin Baniaz Pahamin berkata program itu akan menggerakkan semua jentera parti bagi membantu golongan pengganggur dan usahawan.

Jelasnya, program Pejuang itu menyediakan latihan kemahiran dan platform untuk mempermudahkan tenaga kerja memasarkan perkhidmatan mereka secara atas talian.

Menurut Armin, seramai 2,000 orang dengan pelbagai kemahiran sudah mendaftarkan untuk terlibat dalam ekonomi gig, yang merujuk kepada permintaan dan penawaran perkhidmatan jangka masa pendek atau berdasarkan tugas di dalam talian.

“Di bawah gig worker, kita mendapati ramai yang miskin bukan mereka tiada kerja tetap tapi tidak cukup gaji.

“Jadi gig worker adalah mereka yang freelancing untuk contohnya dia kerja di suatu syarikat dia buat akaun tapi dia mahir dalam membuat sesuatu akaun untuk syarikat.

“Jadi, mereka boleh mendapat pendapatan sampingan daripada mereka punya kemahiran membuat akaun secara freelancing dan maksudnya dia membuat kerja sebagai freelancing dan bukan sebagai tetap,“ katanya.

Untuk rekod, Kementerian Sumber Manusia mengatakan hampir 100,000 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan antara bulan Mac dan November 2020.

Dalam pada itu, Armin berkata pakej bantuan ekonomi Pejuang terbuka kepada warganegara berumur 18 hingga 60 tahun dan tidak memerlukan apa-apa sijil.

Armin berkata penempatan latihan kemahiran adalah percuma dan latihan akan disedia dalam dua kategori iaitu jangka pendek dan panjang.

Program ini, jelasnya lagi menyasarkan kepada golongan B40 dan akan berlangsung sehingga akhir tahun hadapan atau sehingga masalah pengangguran menjadi kurang kritikal.

“Oleh kerana sasaran kami adalah golongan B40 terbawah, kepada mereka yang memohon kerja melalui kami, segala kos perjalanan, penginapan, kelengkapan asas, kos pengangkutan pergi balik ke tempat kerja dan makan dan minum untuk bulan pertama sebelum mendapat gaji akan disediakan oleh majikan yang berdaftar dengan kita,” katanya.

Baniaz juga berkata Pejuang Tanah Air amat bimbang akan keadaan rakyat yang semakin terdesak aibat kehilangan sumber pendapatan.

“Kami risau keadaan dan kebajikan mereka terutamanya dengan kenaikan harga barang keperluan asas yang teramat tinggi dan situasi banjir yang menjejas kedudukan ramai,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/605485

Terkini

Berita Berkaitan