Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, hala tuju itu adalah soalan pertama yang terkandung pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri yang dikemukakan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) dan dijangka dijawab Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Selain itu, turut mencuri tumpuan adalah soalan kedua daripada Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH- Lembah Pantai) yang meminta Menteri Luar Negeri menyatakan pendirian Malaysia terhadap kempen #BoycottMalaysia yang dilancarkan oleh rakyat India di laman sosial Twitter, sebagai respon kepada ucapan Dr Mahathir di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini.

Bagi sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pula, soalan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) turut dijangka mencuri perhatian apabila meminta Menteri Kesihatan menyatakan langkah dan usaha dilakukan oleh kementerian dalam usaha mengatasi masalah kesesakan di wad-wad hospital Kerajaan yang ketika ini dianggap kritikal.

Soalan dari Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) tidak kurang menariknya apabila meminta Menteri Kewangan menyatakan bagaimanakah Kerajaan menentukan sama ada wujud keperluan untuk pemerolehan Kerajaan dibuat secara runding terus.

Dalam pada itu, dua rang-rang dijadual dibentang pada hari yang sama untuk bacaan kali pertama melibatkan Perbekalan 2020 dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember. – BERNAMA