Parah ni! Rakyat Jerman terpaksa ‘ikat perut’

BERLIN, JERMAN – Satu dalam enam penduduk Jerman terpaksa ‘mengikat perut’ secara kerap kerana berdepan masalah kewangan akibat peningkatan kos sara hidup yang tinggi di negara itu, demikian menurut tinjauan oleh Institut Jawapan Sosial Baharu berdasarkan laporan laman berita RT.

Kaji selidik yang diterbitkan dalam akhbar Bild pada Jumaat lalu itu mendedahkan sebanyak 13 peratus penduduk mengaku berasa bimbang sekiranya situasi kenaikan harga makanan berterusan.

Kumpulan yang paling teruk terjejas dalam krisis itu adalah golongan isi rumah berpendapatan rendah yang mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada €1,000 (RM4,630), dengan 32 peratus responden mengaku terpaksa berlapar akibat masalah kewangan.

Selain itu, seramai 42 peratus peserta kajian pula berkata, mereka terpaksa memasak dengan lebih berjimat-cermat akibat kekangan itu. Ia termasuk mengurangkan atau tidak memasukkan beberapa bahan dalam sesebuah masakan.

Bagi 41 peratus responden pula, mereka bergantung kepada tawaran istimewa dan diskaun dari pasar raya bagi membuat pembelian secara berhemat.

Presiden Persatuan Hal Ehwal Sosial Jerman, Adolf Bauer berkata, beliau amat bimbang melihatkan hasil kaji selidik tersebut.

Beliau yang sebelum ini memberi amaran kepada Berlin mengenai sekatan tenaga ke atas Russia turut menjangkakan bahawa tindakan tersebut akan membawa kepada lonjakan harga tenaga, makanan dan tempat tinggal.

“Ia juga dilihat bakal menjejaskan rakyat Jerman, melebihi penduduk Russia,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Sosial Jerman, Verena Bentele berkata, hasil kajian itu menyuarakan kebimbangan yang selama ini telah dijangka oleh organisasi itu.

“Ahli persatuan ini memberitahu bahawa mereka hanya mampu memakan pasta dan roti bakar.

“Kami telah merayu kerajaan agar menghapuskan cukai nilai tambah ke atas makanan dan menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada rakyat yang memerlukan,” jelasnya.

Harga bagi makanan dan bahan api di Jerman telah melonjak dalam beberapa bulan ini akibat sekatan Barat ke atas arang batu, minyak dan gas Russia. Keadaan itu diburukkan lagi apabila kadar inflasi terus meningkat ekoran kegagalan kerajaan Jerman untuk bertindak balas ke atas pandemik Covid-19.

Selain Jerman, negara-negara Eropah yang lain termasuk Britain turut berdepan dengan masalah kenaikan kos sara hidup.

Satu tinjauan yang dijalankan di London bulan lalu mendapati bahawa satu perempat daripada penduduk negara itu terpaksa ikat perut disebabkan kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan inflasi dan ancaman kekurangan bekalan makanan.

Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia turut membuat jangkaan mengenai krisis kebuluran yang berlaku akibat faktor-faktor seperti Covid-19, inflasi serta sekatan ekonomi ke atas Rusia dan halangan eksport ke atas pelabuhan di Ukraine yang menyekat negara itu daripada menghantar bekalan bijirin ke seluruh dunia. – Agensi

Terkini

Berita Berkaitan