Pengumuman Aidilfitri yang disambut esok memberikan satu kejutan besar buat kebanyakan rakyat Malaysia.
Rata-rata pengguna di media sosial memberikan pelbagai reaksi susulan selepas pengumuman oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, sebentar tadi.
Salah seorang pengguna menerusi komen di Facebook Radio Televisyen Malaysia, Izzah Isa menyatakan tidak bersedia untuk berhari raya esok kerana menjangkakan ia bakal disambut pada Selasa; “Rendang tak buat lagi, ingat raye Selasa.”
Sementara itu, pengguna yang menggunakan nama Maliah Taher, memberitahu agak kalut untuk menyediakan persiapan juadah raya malam ini.
“Ingat hari selesa, nampaknya rendam mee hoon goreng pagi esok. Tak tahu pun. Adui!! Suami dah pergi sembahyang terawih,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein menerusi Twitter turut mengesahkan tarikh Hari Raya esok, menjangkakan kemungkinan ramai yang kini sedang sibuk membuat persiapan dan ada juga yang masih dalam perjalanan pulang ke kampung.
“Sah! Esok kita sambut Aidilfitri. Tapi mungkin ada yang masih dalam perjalanan pulang ke kampung. Mungkin ramai yang belum mula bakar lemang, masak ketupat serta rendang.
“Sama-samalah kita ‘busy’ di dapur malam ni Selamat #HariRaya #Aidilfitri. Maaf zahir dan batin,” tweetnya.
Terdahulu, sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi negeri-negeri seluruh Malaysia tahun ini ditetapkan esok pada 2 Mei bersamaan hari Isnin.
Pengumuman itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Daniel Syed Ahmad menerusi siaran langsung khas di sebuah stesen televisyen sebentar tadi.
Penetapan tarikh 2 Mei 2022 sekali gus mengesahkan desas-desus umat Islam Malaysia akan merayakan sambutan itu lebih awal berbanding dijadualkan iaitu pada Selasa.
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/01/rendang-tak-buat-lagi-ramai-panik-hari-raya-disambut-esok/