PANAS! Zahid pernah suarakan pada PAU 2018, UMNO kembali memimpin kerajaan menjadi kenyataan

Hasrat Umno untuk kembali memimpin kerajaan seperti disuarakan pada perhimpunan agung Umno 2018 kini menjadi kenyataan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Berucap pada persidangan pertama parti itu selepas BN tewas, Ahmad Zahid berkata jika parti itu berjaya mendepani landskap politik ketika ini, Umno akan menjadi pilihan terbaik pada pilihan raya akan datang.

“…’Kita sentiasa bersedia memimpin kerajaan sekiranya apa-apa terjadi kepada kerajaan sekarang’.Itu antara kandungan ucapan saya pada perhimpunan agung Umno kira-kira tiga tahun yang lalu.

“Apa yang dinyatakan presiden Umno pada hari tersebut telah pun dijadikan kenyataan pada hari ini.

“Syukur alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh pimpinan, ahli dan penyokong Umno yang meyakini iltizam itu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2018, Ahmad Zahid berkata Umno sedia memimpin kerajaan jika apa-apa terjadi pada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dalam ucapan itu juga Ahmad Zahid berkata Umno adalah pilihan terbaik untuk menjadi kerajaan sebelum atau selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

Dia juga yakin akan ada sinar buat parti itu selepas tewas dalam PRU-14.

Semalam, Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan menggantikan Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas hilang majoriti apabila 15 ahli Parlimen Umno termasuk Ahmad Zahid dan Najib Razak menarik sokongan terhadapnya.

Percaturan itu menyaksikan Ismail yang juga Naib Presiden Umno diangkat sebagai perdana menteri bagi memimpin kerajaan.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata matlamat Umno seterusnya adalah PRU-15 selepas pandemik Covid-19 terkawal.

“Maka itu perjuangan Umno seterusnya. PRU-15 yang bakal diadakan selepas pandemik terkawal matlamat yang sebenar.

“Tujuannya tiada selain demi agama, bangsa dan negara. Demi mengembalikan kemakmuran rakyat dan kegemilangan Malaysia,” katanya.

https://www.malaysiakini.com/news/588195

Terkini

Berita Berkaitan