PETALING JAYA: Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan, yakin Perikatan Nasional (PN) boleh menawan Selangor dan mempertahankan kedudukannya sebagai kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), walaupun berdepan ancaman pertandingan banyak penjuru kelak. Beliau mengakui PN perlu bekerja keras, namun rakyat boleh menilai keikhlasan dan kesungguhan gabungan itu untuk berkhidmat.
“Sudah pasti kita perlu bersedia dan berusaha memperkasa jentera parti untuk pertandingan berapa penjuru sekalipun.
Kita perlu teruskan usaha menjaga kesatuan politik Melayu. Kesatuan ummah yang telah dibina dalam PN ini mahal harganya,” katanya dalam kenyataan.
Awal pagi tadi, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan PPBM, yang didakwa tidak mendapat dukungan rakyat dan tidak mempunyai sokongan akar umbi.
Wan Saiful bagaimanapun mengingatkan perpecahan undi Melayu hanya menguntungkan DAP dan PKR.
“Yang mahu memecahkan kesatuan politik Melayu bukan PPBM. Yang mahu membuka ruang untuk PKR dan DAP kembali berkuasa juga bukan PPBM.”
Beliau berkata, PN sedia bertanding di semua kerusi, sekiranya Umno berkeras tidak mahu berunding untuk mempertahankan kesatuan politik Melayu.
“PPBM sentiasa menyeru kepada penyatuan agar kestabilan negara dapat diwujudkan dan dikekalkan, dan agar struktur asas kuasa politik negara dapat dikekalkan.”
https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/28/wan-saiful-yakin-pn-boleh-tawan-selangor-putrajaya-walau-hadapi-pertandingan-pelbagai-penjuru/