KUALA LUMPUR – Rakyat perlu menekankan ‘Ketuanan Malaysia’ dan bukannya ‘Ketuanan Melayu’ sekiranya hendak kembali kepada prinsip dan dasar asas pembinaan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Menurut pemimpin kanan DAP Lim Kit Siang, langkah itu perlu untuk mengelakkan Malaysia terus ditinggalkan di belakang.
Beliau mengulas mengenai kemungkinan seorang etnik berketurunan India akan dilantik menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu bagi menggantikan Boris Johnson.
“Bekas Menteri Kewangan United Kingdom, Rishi Sunak, kini berada di barisan hadapan empat orang dalam perlumbaan untuk menjadi Ketua Parti Konservatif – seorang lelaki dengan tiga orang wanita. Seorang dari wanita tersebut, Kemi Badenock, beretnik Nigeria.
“Seorang etnik India telah menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat, manakala seorang bekas rakyat Malaysia etnik Cina, Penny Wong, telah menjadi Menteri Luar Negeri di Australia,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.
Kit Siang berkata, di bawah peruntukan Perlembagaan seorang rakyat Malaysia tidak kira kaum, agama atau kawasan boleh menjadi perdana menteri.
Bagaimanapun dengan realiti politik negara ketika ini, beliau menjangka tidak akan dapat melihat bukan Melayu menjadi Perdana Menteri Malaysia sama ada ketika beliau atau anaknya masih hidup.
“Saya harap Malaysia tidak akan memerlukan 230 tahun sebelum seorang yang bukan Melayu berpeluang untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi saya tidak jangka seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri dalam abad ke-21.
Tekankan ‘Ketuanan Malaysia’ bukan ‘Ketuanan Melayu’ – Kit Siang