Bekas Ketua Menteri Melaka Idris Haron menafikan bahawa beliau menjatuhkan kerajaan negeri kerana mahu memegang semula jawatan itu.
Bekas ADUN Sungai Udang itu berkata, Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh yang membuat dakwaan itu sebenarnya yang mahukan jawatan tersebut.
Rabu lalu, Rauf mendakwa Idris “dipermainkan” oleh DAP untuk menjadi Ketua Menteri semula.
Menurut Rauf, Idris telah berbincang dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) tetapi kepimpinan tertinggi DAP tidak bersetuju beliau (Idris) menjadi Ketua Menteri sekali lagi.
Idris berkata, beliau terlibat dalam kejatuhan kerajaan negeri itu kerana ia tidak ditadbir dengan baik. “Saya tidak menjatuhkan kerajaan negeri untuk menjadi KM semula. Saya hanya mahu menghalang negeri daripada ditadbir dengan teruk,” katanya.
“Mengikut konvensyen, Ketua Pembangkang akan menjadi KM sekiranya berlaku pertukaran kerajaan. Semasa Pakatan Harapan menjadi kerajaan, saya adalah Ketua Pembangkang.
“Jadi, sebagai Ketua Pembangkang, saya sepatutnya menjadi KM (semasa PH tumbang),”
katanya.
Idris berkata, Rauf menghalang pelantikannya sebagai Ketua Menteri dan turut mengetepikan pemimpin kanan Umno lain di negeri itu.
Beliau mendakwa Rauf menyokong ADUN Lendu Sulaiman Md Ali untuk jawatan itu kerana “Sulaiman akan mendengar kata Rauf”. “Rauf sebenarnya adalah KM de facto,” tambahnya.