PANAS! Saifuddin Nasution nafi ada rundingan PH, PN di PRN Johor

PKR menafikan terdapat rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk bekerjasama dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali mengenai rundingan tersebut adalah tidak benar.

“Saya mengikuti kenyataan YB Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus yang mendakwa wujud rundingan kerusi di antara Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional bagi menghadapi PRN Johor.

“Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Faktanya adalah Pakatan Harapan termasuk MUDA bertanding di kesemua 56 kerusi di Johor dan bertembung dengan Perikatan Nasional di kesemua kerusi tersebut,” jelas beliau ringkas melalui media sosial.

Media pada 13 Mac lalu melaporkan, Khairuddin mendedahkan terdapat cadangan sebelum ini agar PN mengadakan rundingan kerusi dengan PH bagi menentang BN dalam PRN Johor.

Menurutnya, Pas menolak cadangan tersebut atas dasar prinsip, sambil menambah, jika kerjasama antara PN dan PH berhasil, beberapa kerusi akan dapat dirampas daripada BN.

“Politik serba mungkin. Jika PN membuat persefahaman rundingan kerusi dengan PH beberapa kerusi PN boleh menang melawan BN.

“Saya difahamkan sudah ada cadangan seperti ini sebelum PRN Johor tetapi ditolak oleh Pas kerana prinsip.

“Jika benar, harapnya jangan ada yang cuba melontarkannya untuk kali kedua demi mencapai kemenangan kerusi.

“Dalam politik yang tidak berprinsip, musuh boleh bertukar kawan dan kawan boleh menjadi lawan demi mencapai matlamat,” katanya di Facebook.

Khairuddin berharap agar cadangan sedemikian tidak ditimbulkan lagi buat kali kedua hanya semata-mata demi meraih kemenangan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hari ini mengumumkan keluar daripada Pas sekaligus menjadi wakil rakyat bebas.

Surat berhenti daripada menjadi anggota Pas telah telah dikemukakan kepada Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – MalaysiaGazette

Saifuddin Nasution nafi ada rundingan PH, PN di PRN Johor

Terkini

Berita Berkaitan