Pakatan Harapan (PH) perlu mempersiapkan penyokongnya untuk menerima hakikat bahawa harapan terbaiknya adalah untuk menjadi rakan kongsi kanan dalam kerajaan yang turut merangkumi parti lain, kata seorang penganalisis politik.
Wong Chin Huat daripada Universiti Sunway berkata, ini akan membantu meredakan jangkaan bahawa PH akan dapat membentuk kerajaan sendiri dengan majoriti selesa pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), yang menurutnya “diimpikan” sesetengah pihak.
Beliau menggesa pemimpin pembangkang agar mendidik akar umbi dan menyediakan mereka untuk menghadapi “realiti baharu dan implikasi kejamnya”.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook sebelum ini meramalkan bahawa tidak akan ada parti yang dominan selepas PRU15.
Menurut Wong, PH tidak memperoleh undi majoriti pada 2018 tetapi hanya berkuasa disebabkan perpecahan undi antara Barisan Nasional (BN) dan PAS di kebanyakan kawasan.
Beliau turut menggesa PH agar menonjolkan kejayaannya, walaupun berada dalam barisan pembangkang, untuk mendesak pembaharuan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya dengan Putrajaya tahun lepas.
Ini termasuk meluluskan rang undang-undang anti-lompat dan sabitan tuduhan rasuah bekas perdana menteri Najib Razak, yang mencadangkan bahawa kerajaan tidak campur tangan dalam badan kehakiman.
Chin berkata, kebanyakan penyokong PH gembira dengan kedua-dua peristiwa ini.
“Dan kedua-duanya tidak mungkin (berlaku) tanpa MoU,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, tambahnya, malang bahawa ramai pemimpin dan akar umbi PH masih gagal mengiktiraf keberkesanan gabungan itu sebagai pembangkang bawah perjanjian rentas parti itu.
Wong juga percaya bahawa satu lagi sebab PH kelam sinarnya ketika menjadi pembangkang ialah kegagalannya menawarkan alternatif yang serius dalam dasar dan isu kepimpinan.
Beliau berkata, tiada perkara dalam MoU yang menghalang PH daripada menubuhkan Jemaah Menteri bayangan, menggubal dasar alternatif, dan membentangkan belanjawan alternatif.
Wong bersetuju bahawa PH akan menjadi lebih berkesan sebagai sebahagian daripada kerajaan campuran berbanding kekal sebagai “pembangkang bermaruah”.
Namun untuk berbuat demikian, kata Wong, PH mesti memenangi kerusi yang mencukupi. Ini hanya dapat dicapai jika penyokong mereka beramai-ramai keluar mengundi pada PRU15.
“Ini akan membantu menjadikannya rakan kongsi kanan dalam kerajaan campuran dan membentangkan program tadbir urus yang pragmatik,” tambahnya.
Awal tahun ini, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, lebih baik bagi PH untuk berpuas hati kekal sebagai pembangkang “bermaruah” berbanding menghebahkan keyakinan mereka untuk menang pada PRU15.
PH harus persiap penyokong untuk terima hakikat kerajaan campuran, kata penganalisis