PANAS!! Pendekatan radikal akan buat DAP hilang sokongan, kata Loke

DAP akan hilang sokongan jika mengamalkan pendekatan radikal dan pendirian ekstrem dalam politik, kata Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.

Pelantikan Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu menggantikan Lim Guan Eng mencetuskan pelbagai reaksi, antaranya percaya bahawa beliau akan memimpin parti iti ke arah lebih bersederhana.

Bagaimanapun, Loke menjelaskan bukan hanya beliau sahaja mengamalkan sikap itu, malah parti itu sendiri mengamalkan “politik kesederhanaan”

“Ideologi kita sosial demokrasi, yang ambil pendekatan sederhana dari segi dasar dan pendekatan politik.

“Saya percaya dalam konteks di Malaysia, kalau kita ambil pendirian ekstrem, ia tidak akan ke mana-mana dan kita akan menjadi parti yang tidak mendapat sokongan dari peringkat arus perdana dan majoriti rakyat Malaysia,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Utusan Malaysia.

Ketika ditanya mengenai peranan orang Melayu dalam parti yang didominasi kaum Cina itu, Loke menegaskan mereka mempunyai peranan yang sama dengan ahli lain iaitu menarik lebih banyak sokongan terutama penyokong Melayu.

“Saya dan semua pemimpin lain juga ada peranan untuk tarik sokongan Melayu dan juga kaum India, Cina, Kadazan, Iban dan lain-lain kepada kita,” katanya sambil menambah DAP tidak seharusnya bergantung kepada PKR dan Amanah untuk mendapatkan sokongan Melayu.

Tambahnya lagi, tiada kuota keahlian untuk orang Melayu atau kaum lain dalam parti itu.

Mengulas berkaitan bangsa Cina mula beralih sokongan kepada BN dan MCA, Loke berkata ia hanya “isu mikro” yang berlaku di DUN tertentu seperti Yong Peng, Johor.

“Ini memang jelas ada swing pengundi Cina kepada MCA. Tapi ini sebab isu mikro, bermaksud ia menggembleng sumber dan betul-betul fokus di kawasan itu.

“Mereka letak calon di sana yang bekerja di kawasan sepanjang masa, sejak selepas pilihan raya umum lepas. Di Yong Peng, strategi MCA adalah calon yang telah kalah sewaktu PRU14, dia tetap teruskan khidmat seperti seorang wakil rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Seremban itu turut mendedahkan di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara PH dan kerajaan persekutuan, pembangkang mempunyai kewajipan untuk kekal berkecuali sekiranya terdapat usul untuk membentangkan undi percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Maka kedudukan beliau sebagai PM tak tergugat, kecuali ada orang dalam kerajaan menarik sokongan terhadapnya termasuk dari parti beliau sendiri,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/04/03/pendekatan-radikal-akan-buat-dap-hilang-sokongan-kata-loke/

Terkini

Berita Berkaitan