Saturday, September 23, 2023

Panas! Pemimpin Pemuda Pejuang WP letak jawatan

PETALING JAYA: Beberapa pemimpin Pemuda Pejuang Wilayah Persekutuan bertindak meletakkan jawatan masing-masing.

Ketua Penerangan Pemuda Pejuang Wilayah Persekutuan, Abdul Hakim Hafizi Hamizan, berkata selain dirinya, pemimpin lain yang meletakkan jawatan ialah Fakhri Noor Ramli sebagai ketua Pemuda Pejuang Wilayah, Suhaimi Othman (naib ketua), Fitri Rashid (setiausaha) dan Syazmir Ahmad Najib (bendahari).

Hakim berkata, keputusan itu dibuat kerana pemimpin terbabit sebagai tanggungjawab moral selepas parti menanggung kekalahan besar, pada PRU15.

Ia berlaku susulan tindakan Abu Hafiz Salleh Hudin menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai ketua Pemuda Pejuang, semalam.

Abu Hafiz berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk rasa tanggungjawab terhadap prestasi hambar Pejuang pada PRU.

Pada Rabu, Abu Hafiz berkata, terdapat desakan besar daripada akar umbi dan kepimpinan peringkat pertengahan Pejuang agar parti itu menyemak semula keahliannya dalam Gerakan Tanah Air (GTA).

Kesemua 125 calon parti, termasuk Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad dan presiden, Mukhriz Mahathir, tewas pada PRU15 termasuk hilang deposit kerana mendapat kurang daripada satu perlapan daripada jumlah undi.

Menurut Abu Hafiz, timbul juga desakan daripada akar umbi agar parti itu mempertimbangkan kerjasama dengan gabungan politik yang berkongsi aspirasi sama sejajar perkembangan politik negara selepas PRU15.

FMT

Berkaitan