PETALING JAYA: Sebanyak 120 kerusi Parlimen dijangka ditandingi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagaimanapun tidak memberi perincian lanjut berkenaan hasrat itu.
“Kami menyasarkan untuk bertanding hingga 120 kerusi Parlimen dalam PRU-15 akan datang.
“Tapi kita harap orang bukan Melayu pun akan sokong. Dulu pun dalam UMNO, saya dapat banyak sokongan daripada orang Cina, India,” katanya memetik laporan The Malaysian Insight hari ini.
Selain Dr. Mahathir, Pejuang kini mempunyai tiga bekas anggota Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) iaitu Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md. Salleh. – UTUSAN ONLINE