Pemimpin Barisan Nasional (BN) berusaha mengetepikan ancaman daripada Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana yakin rakyat di negeri itu bijak menilai kesilapan yang dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN).
Dengan menjadikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai sasaran, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan mendakwa bekas Perdana Menteri itu telah bekerjasama dengan DAP, PKR dan Amanah untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang stabil dalam pilihan raya umum lalu.
Katanya, beliau yakin pengundi Melaka tidak lupa bahawa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Bersatu tidak melakukan apa-apa di Melaka sepanjang 22 bulan memegang kuasa, selain menambah hutang negara dan membatalkan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).