Muda bukan proksi Dr Mahathir Mohamad dan Pejuang berdasarkan perbezaan perkara asas diperjuangkan, kata timbalan presidennya, Amira Aisya.
Beliau berkata demikian memandangkan timbul kerisauan dan keraguan terhadap niat sebenar Muda untuk menjadi parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti diumumkan presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada 6 Sept.
Katanya, sekiranya Muda tidak ikhlas berjuang, adalah lebih baik mereka menyertai parti kerajaan sahaja mengambil kira tawaran “macam-macam” kepada Syed Saddiq sebelum ini.
“Buat apa susah-susah mahu lawan kerajaan, keluar masuk balai, naik turun mahkamah kalau apa yang saya buat sebagai pimpinan Muda ini tidak ikhlas untuk negara?
“Nak kaitkan Muda dengan Tun Mahathir dan Pejuang juga tak boleh. Muda bukan ejen atau proksi mereka. Banyak hal asas kami berbeza pendapat.
Muda mahu raikan semua agama, kaum dan warna kulit. Waktu PRN (pilihan raya negeri) Johor, kami bergerak dengan PH – itu sangat jelas,” katanya di Facebook.
Mengulas lanjut, Amira berkata dakwaan yang ditujukan kepada Muda hanya kerana hasrat parti itu ingin menjadi sebahagian dari PH dibina dengan imaginasi.
“Muda ini dibina oleh sekumpulan orang muda yang mahu Malaysia maju ke depan. Setelah kekecewaan dengan Langkah Sheraton, saya dan kawan-kawan fikir, lebih baik kita tubuh parti politik dan jadi orang politik yang bersih, rajin dan bersungguh-sungguh mentadbir negara,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Puteri Wangsa, berkata beliau memahami setiap kritikan dan keraguan dari parti komponen PH berhubung “rekod” bekerja Muda dan PH.
Pada PRN Johor, Muda bertembung dengan parti komponen PH, di Larkin.
Muda bukan proksi Dr M, asas juang berbeza, kata pemimpin tinggi