Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Adun Segama Mohamaddin Ketapi mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini, lapor Astro Awani.
Kata Mohamaddin, keputusannya keluar Warisan selepas melihat tiada sebarang bentuk pembangunan dan kemajuan dapat disalurkan di kawasan diwakilinya sepanjang berada di kerusi pembangkang.
“Sudah lebih setahun saya berada di pihak pembangkang namun tiada sebarang kemajuan yang dapat dibawa ke kawasan Parlimen Lahad Datu. Situasi sama turut berlaku di DUN Segama yang tiada menunjukkan sebarang bentuk pembangunan walaupun hanya membabitkan tandas awam,” katanya.
Mohammaddin menyusuli langkah Adun Sindumin Dr Yusof Yacob mengumumkan keluar Warisan untuk menjadi Adun bebas yang menyokong kerajaan negeri ditadbir Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menjelaskan lanjut, Mohamaddin menafikan membuat keputusan itu kerana ‘dibeli’.
“Pengumuman yang saya buat hari ini adalah semata-mata demi untuk memastikan kemajuan dibangunkan di DUN Segama dan tiada kaitan dengan beli wakil rakyat,” jelasnya.
Pada PRU14 lalu Mohammaddin bertanding atas tiket Warisan dan menang kerusi parlimen dan DUN berkenaan.
Dia juga merupakan menteri pelancongan, seni dan budaya ketika era pentadbiran PH.