Panas!! Kenapa siasat Thomas, bukan Apandi, soal Dr M

Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa pihak berkuasa menyiasat bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung bukunya, tetapi bukan pendahulunya Apandi Ali berhubung dakwaan kesalahan yang dilakukan semasa beliau menjadi peguam negara.

Beliau berkata, Apandi telah membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada sebarang salah laku dalam skandal 1MDB, tetapi bekas Ahli Parlimen Pekan itu dipenjarakan selepas sembilan hakim mendapatinya bersalah atas tuduhan rasuah dalam kes SRC International.

Dalam catatan di blognya, Mahathir mendakwa ini “jelas menunjukkan” penglibatan Apandi dalam dakwaan menutup skandal 1MDB.

“Saya tidak ada sebarang halangan terhadap siasatan yang dibuat terhadap buku yang ditulis oleh bekas Tommy Thomas,” katanya.

“Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya.

“Tetapi amat pelik kenapa sehingga kini tidak ada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap Apandi Ali yang jelas telah melakukan pelbagai kesalahan semasa menjadi peguam negara sebelum Thomas.”

Pengerusi Pejuang itu juga menegaskan, dalam penghakiman setebal 100 muka surat yang menolak saman fitnah Apandi terhadap Lim Kit Siang, Hakim Azimah Omar membuat kesimpulan bahawa Apandi seorang “penipu” dan gagal melaksanakan tugas sebagai peguam negara.

Mahathir berkata, Azimah turut menyatakan terdapat asas untuk Apandi disiasat kerana disyaki bersubahat dalam jenayah 1MDB.

“Berikutan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan kerana kerajaan terdahulu telah menamatkan perkhidmatannya kerana dia gagal menjalankan tugasnya.

“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Batu Puteh,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, Thomas dipercayai melakukan empat kesalahan berdasarkan siasatan terhadap kandungan memoir “My Story: Justice In the Wildernes”, yang ditulisnya.

Beliau berkata, kesalahan itu melibatkan Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Buku yang diterbitkan pada Januari tahun lepas itu menimbulkan kekecohan sehingga kira-kira 244 laporan dibuat oleh individu dan kumpulan terhadap Thomas dan buku itu.

Laporan 225 muka surat hasil siasatan terhadap dakwaan dalam memoir tersebut kini didedahkan kepada awam apabila kerajaan menyahklasifikasikannya pada 13 Okt.

Kenapa siasat Thomas, bukan Apandi, soal Dr M

Terkini

Berita Berkaitan