Panas!! Kemenangan, isyarat akar umbi mahu PKR kembali ke landasan, kata Rafizi

Timbalan Presiden PKR yang bakal dilantik, Rafizi Ramli menyifatkan kemenangannya dalam pemilihan baru-baru ini adalah satu isyarat bahawa anggota akar umbi mahu parti itu kembali semula kepada landasan reformasi.

“Anggota akar umbi PKR memberikan mandat sebegitu besar kepada seorang anggota biasa yang tidak berjawatan kerana mereka mahu parti ini kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.

“Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rafizi berkata, sejak penubuhan PKR, politik progresif berbilang kaum sentiasa menjadi teras dengan idea dasar didorong oleh kepentingan orang ramai.

Untuk itu, beliau berterima kasih atas kepercayaan yang diberi sekaligus membuktikan sokongan hampir keseluruhan akar umbi terhadap pendiriannya.

“Sejak dari awal, saya nyatakan bahawa sebagai parti yang ingin terus mempengaruhi perubahan politik negara, kita mesti yakin dengan kebijaksanaan rakyat.

“Itu hanya akan berlaku jika kita menjadi sebuah parti yang lebih pintar, lebih agresif, lebih lincah, lebih cekap dan dibarisi pimpinan yang lebih muda dan bermutu.

“Saya berterima kasih kerana hampir keseluruhan anggota akar umbi PKR bersetuju dengan pendirian saya itu,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi juga enggan dilihat bahawa kemenangannya terhadap pesaingnya Saifuddin Nasution Ismail boleh menggugat hubungan perpaduan di antara sesama ahli.

“Kami telah bersama- sama membina parti ini sejak 1998, bodohlah mereka yang beranggapan perbezaan pendapat kami sebelum ini boleh memutuskan keikhlasan dan kesetiaan kami kepada PKR,” katanya.

Tidak mahu berlengah masa, Rafizi berkata beliau akan mengadakan satu pertemuan bersama presiden parti, Anwar Ibrahim untuk berbincang mengenai persiapan parti menghadapi pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) yang semakin hampir.

“PKR akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke Presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan kita dengan berkesan,” katanya.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/05/30/kemenangan-isyarat-akar-umbi-mahu-pkr-kembali-ke-landasan-kata-rafizi/

Terkini

Berita Berkaitan