Hanya kerajaan yang stabil sahaja mampu menyelesaikan masalah, kata Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.
Oleh itu, kuasa perlu diberikan kepada rakyat semula.
”Biar rakyat pilih sebuah kerajaan yang stabil dan diyakini,” katanya yang menjawab teguran Tan Sri Musa Hassan tentang sikap pemimpin politik di negara ini yang saban hari bertelingkah untuk berebut kuasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Bekas Ketua Polis Negara itu berkata, sikap yang ditunjukkan sesetengah pemimpin politik hanya bertujuan untuk menjatuhkan antara satu sama lain demi kepentingan diri sendiri.
“Pemimpin politik Malaysia hari-hari bergaduh, berebut kuasa dan bertungkus lumus merancang untuk menjatuhkan sesama sendiri bagi kepentingan diri.
“Negara lain lebih maju kerana pemimpin politik bertungkus-lumus membangunkan ekonomi dan tahap kehidupan rakyat mereka,” katanya.
Shamsul Anuar tidak menafikan teguran Musa itu berkata, fokus mesti diberikan untuk membangunkan negara dan rakyat.
Tegasnya, apabila kerajaan stabil suhu politik juga dapat diredakan seperti mana di Melaka dan tumpuan boleh dibuat untuk rakyat dan negara ini.
Tambahnya, ekonomi dan keyakinan pelbagai pihak kepada negara mesti diperkukuhkan semula, jika tidak, Malaysia akan jauh ditinggalkan.