PANAS! 31 menteri, 38 timbalan diberi masa 100 hari bukti prestasi awal, kata PM

PETALING JAYA: Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi tempoh 100 hari kepada 31 menteri dan 38 timbalan menteri dalam barisan Jemaah Menteri yang baharu diumumkan untuk membuktikan prestasi awal setiap kementerian.

Katanya, beliau akan memastikan barisan Jemaah Menteri yang dibentuk di bawah kepimpinannya menekankan budaya kerja berprestasi tinggi.

“Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama

“Barisan Jemaah Menteri yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat. Jemaah Menteri ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik,” katanya semasa mengumumkan senarai baharu itu.

Katanya, bagi mendepani cabaran semasa, Jemaah Menteri pimpinannya perlu berorientasikan hasil berlandaskan kepada tiga prinsip, iaitu peka dengan keperluan semasa, bertanggungjawab serta amanah dan mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Ismail berkata, Jemaah Menteri yang dipilih beliau itu juga berdasarkan kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Katanya, pembentukan Jemaah Menteri pimpinannya juga turut dibuat berdasar situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia.

Ismail turut memaklumkan, beliau mengambil kira ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa manusia akan kekal hidup bersama Covid-19 dan kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

“Ia bertujuan mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini. Kita perlu terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian,” katanya.

Tambahnya, beliau juga akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

“Sesungguhnya, barisan Jemaah Menteri ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

“Namun, Jemaah Menteri saya tidak boleh bekerja bersendirian. Kami memerlukan dukungan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia,” katanya yang turut berterima kasih kepada ketua-ketua parti politik yang telah memberi pandangan dalam usaha beliau membentuk barisan Jemaah Menteri.

Beliau turut memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia Isnin ini jam 2.30 petang sehari sebelum negara menyambut Hari Kebangsaan.

Terdahulu Ismail menamakan anggota Jemaah Menterinya hari ini termasuk empat menteri kanan tanpa jawatan timbalan perdana menteri,

Empat menteri kanan yang diumumkan ialah Hishammuddin Hussein (Umno), Mohamed Azmin Ali (Bersatu), Radzi Jidin (Bersatu) dan Fadillah Yusof (Gabungan Parti Sarawak).

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/27/semua-menteri-diberi-masa-100-hari-bukti-prestasi-awal-kata-pm/

Terkini

Berita Berkaitan