Saturday, September 23, 2023

MUDA tanding 10 kerusi, tetapi PH beri hanya 6 kerusi?

Rundingan antara tiga parti dalam PH bersama MUDA dijangka akan dimuktamadkan dalam minggu ini.

Sinchew Daily melaporkan, calon MUDA dijangka bertanding di 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dan PH sudah bersedia memberi laluan di sekurang-kurangnya enam kerusi.

Walau bagaimanapun, sekiranya rundingan mengenai baki empat kerusi buntu, maka PH juga mungkin bertembung dengan MUDA.

PKR dilaporkan sedia memberi laluan di Semarang dan Sri Medan, Amanah di Parit Raja dan Bukit Kepong, manakala DAP di Bukit Permai dan Machap.

Selain enam kerusi itu, MUDA juga berunding dengan PKR untuk Bukit Gambir, Kempas dan Larkin serta dengan Amanah untuk Puteri Wangsa, Bukit Pasir, Permas, Tenang dan Bukit Pasir.

MUDA dilaporkan mengharapkan PKR dan Amanah masing-masing akan memberi laluan di dua kerusi lagi.

PH sebelum ini telah bersetuju supaya PKR dan Amanah masing-masing bertanding di 20 kerusi dan DAP di 16 kerusi, termasuk mempertahankan kerusi yang menang sebelum ini. Perhitungan itu bagaimanapun tidak membabitkan MUDA.

Rundingan PH dengan MUDA bagaimanapun dianggap agak lancar kerana tiga parti PH setakat ini telah bersetuju untuk memberi laluan di enam kerusi.

Untuk rundingan di empat kerusi tambahan pula, proses dengan Amanah dilaporkan agak baik, tetapi lebih sukar dengan PKR.

Sekiranya persetujuan tidak dapat disetujui, PKR mungkin bertarung dengan MUDA di dua kawasan.

Dalam pada itu, MUDA dilaporkan akan mengunakan logo sendiri untuk bertanding walaupun akan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi Pilihan Raya Johor. – MalaysiaGazette

MUDA dijangka bertanding 10 kerusi, tetapi PH hanya beri laluan di enam

Berkaitan