Pertubuhan pendidikan Cina yang terus membantah pengajaran tulisan Jawi bagi murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) disifatkan sebagai melampau dan antinasional.
Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, sikap mereka yang masih berkeras membantah boleh dikatakan ‘cacing naik ke mata’ iaitu sikap melampau.
Menurutnya, keputusan kerajaan yang bertolak ansur dalam pengajaran tulisan Jawi, sehingga cuma tiga muka surat dengan status pilihan adalah cukup adil.
“Suatu yang adil, kerana kalau sebelum itu wajib, tetapi selepas ada bantahan, enam menjadi tiga muka surat, status wajib menjadi pilihan. Saya kira isu itu selesai.
“Namun, pihak yang mati-matian membantah dan tidak mahu menerima, saya kira cukup melampau. Sudah ada pilihan, kenapa masih bantah?
“Mereka bukan lagi cauvanis, tetapi antinasional, mereka menentang kepentingan negara, iaitu bahasa Melayu adalah kepentingan nasional dan negara,” katanya.
Beliau mengulas sikap kumpulan aktivis yang terus berkeras membantah pelaksanaan tulisan Jawi dengan merancang untuk membawa isu itu ke mahkamah.
Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dilaporkan akan mengadakan persidangan pertubuhan Cina pada 28 Disember ini.
Sebelum ini, Kerajaan memutuskan pengenalan tulisan Jawi diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, mendedahkan tulisan Jawi kepada anak Cina di SJK sekurang-kurangnya memberi peluang untuk mengenali tulisan itu, malah mempelajarinya tidak pun mengislamkan mereka.
Tegas beliau, bantahan daripada kumpulan aktivis terbabit adalah tidak selari dengan peruntukan termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia.
Malah, katanya, mengikut Akta Bahasa Kebangsaan 1963 (Pindaan 1967) juga, penggunaan tulisan Jawi tidak boleh dilarang.
“Sekarang, kerajaan nak guna tulisan Jawi dalam bentuk mengajar. Dibantah lagi, itu melanggar akta berkaitan tulisan Jawi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang sebelum ini yang menolak permohonan parti GERAKAN (Parti Gerakan Rakyat Malaysia) supaya pengajaran tulisan Jawi tidak dibenarkan di sekolah Cina dan Tamil di seluruh negara.
“Sekarang mereka bantah, ada ugutan nak bawa ke mahkamah. (Sebelum ini) Parti GERAKAN dah bawa ke mahkamah, boleh pun ajar,” katanya. HM