Mengeluporlah Antivak lepas ni, katanya Kerajaan pertimbang untuk wajibkan Vaksin

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mempertimbang mewajibkan pengambilan vaksin kepada rakyat negara ini dalam usaha memerangi pandemik Covid-19 yang berkemungkinan menjadi satu endemik.

Bagaimanapun, katanya, langkah mewajibkan penerimaan vaksin itu hanya akan dilakukan sekiranya masih ramai yang berdegil tidak mahu menerima suntikan vaksin.

“Setakat ini kita masih belum lagi mewajibkan tetapi saya percaya satu hari nanti kalau masih ramai yang enggan menerima vaksin mungkin kita akan tetapkan perkara itu sebagai wajib.

“Kita tidak mahu perkara itu (tidak mengambil vaksin) kerana mereka yang degil tidak mahu mengambil vaksin boleh menyebabkan masalah kepada orang lain,” katanya dalam sidang akhbarselepas melakukan lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Pesisir Sungai Pahang berhampiran Kampung Batu Bor di sini hari ini.

Yang hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain.

Menurut Ismail Sabri pengambilan vaksin adalah penting dalam mencegah penularan Covid-19 seterusnya memutuskan rantaian penularan wabak berbahaya itu sekali gus memastikan keselamatan seluruh rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha mengatasi kesesakan di pusat pemberian vaksin khususnya melibatkan warga asing, pihak kilang perlu menjadikan kawasan mereka sebagai tempat pemberian vaksin.

Selain itu katanya, bagi menghindarkan penularan wabak Covid-19 semasa mendapatkan vaksin beliau meminta pemberian vaksin secara pandu lalu diperbanyakkan di seluruh negara.

Katanya, melalui langkah itu juga, majikan di kilang terbabit boleh mempercepatkan proses vaksinasi pekerja mereka dengan membeli sendiri vaksin Covid-19.

“Kita kata mana-mana kilang lebih 80 peratus pekerja sudah dapat dua dos vaksin mereka boleh buka kilang, saya percaya harga vaksin tidak begitu mahal berbanding kerugian kalau terus tutup kilang,” ujarnya. – K! ONLINE

Terkini

Berita Berkaitan