MB Sgor kata kerja sebulan kena lakukan dalam sehari, sangkal Selangor tak bersedia hadapi banjir

Menteri Besar Selangor berkata segala persiapan rapi kerajaan negeri kali ini tidak memadai untuk menangani beberapa fenomena melampau yang mencetuskan banjir paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Banjir berterusan tiga hari itu setakat ini meragut 17 nyawa dan menyebabkan kemusnahan ribuan kediaman dan kenderaan, kerosakan harta benda awam, dan menjejaskan bekalan elektrik dan air. Ribuan orang terpaksa dipindahkan ke tempat selamat dan pasukan tentera dikerah untuk kerja mencari dan menyelamat.

Amiruddin menolak tuduhan bencana itu akibat kerajaan negeri tidak membuat persiapan termasuk gagal melakukan penyelarasan dengan Putrajaya bagi menghadapi banjir tahunan.

Sebaliknya, kerajaan telah melakukan persiapan sejak November lagi – seperti biasa.

“Ia bukan masalah tak bersedia,” tegasnya kepada pemberita pada sidang media petang tadi.

Meskipun kerajaan negeri dan persekutuan berhubungan, penyelarasan terjejas “kerana kita dikejutkan dengan jumlah air luar biasa.”

Katanya, pelarasan dibuat pada November untuk menghadapi taburan hujan satu bulan; sebaliknya jumlah air bersamaan hujan sebulan menimpa Selangor dalam sehari.

“Pada 16 hari bulan kita tengok trendnya meningkat. Kita tambah usaha kita pada 18 hari bulan untuk bersedia dengan jumlah hujan yang lebih. Menjelang malam, angka dilaporkan 360mm dan esoknya 400mm.

“Angka itu tak pernah dicatatkan,” katanya.

Dari segi prasarana, Amirudin memaklumkan Selangor hanya mampu menangani lebih kurang 100mm air.

“Semua projek-projek kita adalah pada kadar 100mm. Di kebanyakan kawasan di Selangor dalam sekitar 60mm-70mm. Persediaan kita ialah pada kadar lebihan daripada 60mm ke 100mm.”

Pada petang 18 Disember, Amiruddin telah mengerahkan semua jentera kerajaan untuk mengeluarkan mangsa.

Namun malam itu juga, kerajaan negeri mendapati angka mangsa amat besar. Amirudin menghubungi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein memohon sokongan Putrajaya dan tentera.

Keesokannya (19 Disember) Amirudin dan Ismail bertemu di Johan Setia, disusuli dengan mesyuarat.

“Itu pelarasan yang sepenuhnya berlaku,” katanya.

Malangnya pada ketika sama, berlakunya fenomena air pasang besar 4.5 meter. Pihak berkuasa terpaksa menutup pintu air bagi menghalang air laut menerjah ke daratan dan memburukkan lagi situasi banjir di sekitar Shah Alam.

“Bila penurunan air pasang berlaku mulai 19 hari bulan, kita boleh lihat penyusutan (paras air banjir) di beberapa lokaliti termasuk Taman Sri Muda,” katanya.

Mengenai banjir di Bukit Changgang dan Labohan Dagang di Banting dan di Sepang pada 20 hari bulan, kawasan-kawasan itu digenangi air yang mengalir dari hulu ke hilir menuju ke laut.

“Saya lihat mungkin ambil masa 48 jam atau 72 jam untuk air tersebut mengalir ke laut,” katanya.

Kerja sebulan kena lakukan dalam sehari, Amiruddin sangkal Selangor tak bersedia hadapi banjir

Terkini

Berita Berkaitan