Masak!! WHO bimbang penularan selesema burung

PARIS – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai selesema burung kelmarin selepas bapa kepada seorang budak perempuan Kemboja berusia 11 tahun yang meninggal dunia akibat penyakit itu, turut disahkan positif.

WHO kini bimbang virus se­lesema burung (H5N1) itu boleh menjangkiti antara manusia.

Sejak akhir 2021, dunia dilanda wabak selesema burung pa­ling buruk yang menyaksikan berpuluh juta ternakan ayam dan itik dihapuskan, burung liar mati secara besar-besaran dan jumlah jangkitan dalam kalangan mamalia meningkat.

Di Kemboja, gadis itu jatuh sakit pada 16 Februari lalu. Dia mengalami demam, batuk dan sakit tekak sebelum meninggal dunia Rabu lepas akibat virus selesema burung H5N1, kata kementerian kesihatan.

Pihak berkuasa kemudian mengumpul sampel daripada 12 orang yang pernah berhubung dengan pesakit tersebut.

Kelmarin, pihak berkuasa ber­kata, bapa kanak-kanak pe­rem­puan berusia 49 tahun itu juga positif H5N1, namun menambah, dia tidak menunjukkan gejala.

WHO berkata, ia berhubung rapat dengan pihak berkuasa Kemboja berhubung situasi itu, termasuk mengenai keputusan ujian kenalan lain pesakit. Manusia jarang dijangkiti selesema burung tetapi apabila dijangkiti, ia biasanya disebabkan oleh sentuhan langsung dengan burung yang jatuh sakit.

Pasukan penyiasat Kemboja sedang berusaha untuk mengenal pasti sama ada pesakit dan bapanya terdedah kepada burung yang dijangkiti.

Pegawai-pegawai juga sedang menunggu keputusan ujian beberapa burung liar yang ditemui mati berhampiran kampung gadis itu di wilayah Prey Veng, timur Kemboja.

“Setakat ini, masih terlalu awal untuk mengenal pasti sama ada jangkitan berpunca daripada penularan manusia kepada manusia atau pendedahan kepada persekitaran,” kata Pengarah Kesiapsiagaan dan Pencegahan Wabak dan Pandemik WHO, Sylvie Briand pada satu sidang akhbar secara online.

Awal bulan ini, Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, risiko selesema burung kepada manusia adalah rendah, manakala Briand menekankan bahawa penilaian itu tidak berubah.

Bagaimanapun, katanya, WHO sedang menyemak maklumat yang ada untuk melihat sama ada penilaian risiko tersebut perlu dirombak.

“Situasi H5N1 global membimbangkan memandangkan penyebaran virus yang meluas dalam kalangan burung di seluruh dunia dan peningkatan laporan kes selesema burung terhadap mamalia termasuk kes melibatkan manusia.

“WHO memandang serius risiko virus ini dan menggesa kewaspadaan lebih tinggi dari semua negara,” tambahnya.

Setakat ini, kes selesema burung pada manusia berlaku secara ‘sporadik’,” kata Briand lagi.

Reuters

Terkini

Berita Berkaitan