Majlis Raja-Raja tentukan siapa PM-9 hari ini

Yang di-Pertuan Agong selesai mengumpul akuan sumpah (SD) daripada 220 Ahli Dewan Rakyat semalam, untuk mendapatkan jumlah sokongan mereka bagi pemilihan calon Perdana Menteri kesembilan.

Masing-masing menyatakan sokongan kepada dua nama yang dicalonkan, iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada Barisan Nasional (BN) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH).

Bagi yang kurang majoriti, baginda mendapatkan akuan mereka menerusi panggilan secara talian, manakala yang dikatakan sudah mendapat majoriti berbuat demikian secara bersemuka di Istana Negara.

Maklumat tidak rasmi – selagi tidak dikeluarkan oleh pihak Istana Negara – menyatakan, Ismail Sabri mendapat 114 undi, manakala selebihnya 106 diperolehi oleh Anwar.

Namun begitu, Yang di-Pertuan Agong dikatakan akan membawa keputusan yang diperolehi baginda semalam ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu yang akan bersidang hari ini.

Tuanku Raja-Raja Melayu akan memberi pandangan masing-masing, sama ada melantik Perdana Menteri yang memperolehi sokongan majoriti atau sebaliknya, selepas mengambil kita semua aspek dan keadaan politik yang berlaku mutakhir ini.

Bagaimanapun, banyak pihak menyatakan, baginda akan mengumumkan nama Perdana Menteri yang mendapat sokongan majoriti selepas mesyuarat itu nanti, dengan nasihat dan pandangan tuanku Duli-Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan.

Kemelut politik Malaysia sampai ke kemuncaknya pada 7 Julai lalu, apabila 15 daripada 42 Ahli Parlimen BN – majoritinya UMNO – menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkuatkuasa serta-merta.

Berikutan itu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hilang majoriti dan meletakkan kerajaannya dalam kedudukan tidak stabil.

Pada 16 Ogos 2021, Muhyiddin mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara untuk mempersembahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri, tetapi dilantik Perdana Menteri caretaker, sementara pelantikan Perdana Menteri yang baharu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi alasan tujuh sebab kenapa beliau bersama 14 lagi Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Antaranya, kerajaan PN dikatakan gagal menangani pandemik Covid-19, menyalahgunakan Proklamasi Darurat, gagal mengamalkan Demokrasi Berparlimen, gagal membantu rakyat daripada segi moratorium terakru dan gagal memberi keyakinan kepada rakyat sehingga peningkatan masalah sosial seperti kes bunuh diri.

Alasan lain ialah kegagalan PN menstabilkan kerajaan dan negara sehingga pelabur asing menarik balik pelaburan dan sikap kerajaan terhadap Institusi Raja-Raja.

Atas alasan itu, UMNO – kecuali tiga Ahli Parlimen dari MCA dan MIC – mengambil keputusan keluar dari kerajaan PN dan mahu pembentukan kerajaan baharu dilakukan. – MalaysiaGazette

Terkini

Berita Berkaitan