Thursday, October 5, 2023

[Main kacuk-kacuk pula virus ni] Kacukan varian Covid-19 UK dan India dikesan di Vietnam, kata Noor Hisham

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, timbul kebimbangan baru mengenai kacukan varian Covid-19 dari United Kingdom dan India di rantau ini.

Beliau berkata, varian Covid-19 membimbangkan (VOC) yang dikenal pasti setakat ini ialah United Kingdom, India, Brazil dan Afrika Selatan.

Tetapi, pihaknya mendapat maklumat mengenai kewujudan kacukan varian UK dan India yang kini dikesan di Vietnam.

“Jadi, ini mungkin akan menambahkan penularan kes dengan lebih cepat lagi. Kemungkinan akan membawa lebih banyak kematian,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob di Pejabat Perdana Menteri petang tadi.

Oleh itu, beliau berkata, kawalan sempadan negara perlu diperketatkan bagi mengelakkan varian berbahaya itu memasuki Malaysia.

Noor Hisham berkata, penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau “total lockdown” selama dua minggu mulai Selasa ini perlu dilaksanakan susulan unjuran Kementerian Kesihatan (KKM) yang jangkitan harian akan mencapai 13,000 kes menjelang pertengahan bulan depan.

“Kalau mengikut unjuran kita yang lepas, kita jangkakan pada 14 Jun, kita akan mencatatkan 13,000 kes.

“Itu sebab dengan unjuran ini, kita terpaksa melakukan perintah kawalan pergerakan 3.0 (total lockdown) seperti PKP 1.0 untuk memastikan tiada pergerakan dan perhimpunan.”

Katanya, unjuran kes Covid-19 ketika “total lockdown” hanya akan diperolehi selepas tujuh hari sekatan itu dilaksanakan.

Beliau berkata, 98 kematian yang direkodkan semalam boleh berulang, bahkan mungkin lebih tinggi dan menyebabkan situasi Covid-19 bertambah kritikal.

“Jumlah katil di unit rawatan rapi, hospital serta Pusat Kuarantin dan Rawatan semakin berkurangan dan berkemungkinan habis.”

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/30/kacukan-varian-covid-19-uk-dan-india-dikesan-di-vietnam-kata-noor-hisham/

Berkaitan